Berhati-Hati Ketika Membaca Jurnal – Dr Helmy Hazmi

Stack of magazines

Ali berusia 36 tahun dan seorang pesakit kencing manis selama setahun. Dia sudah diberikan ubat kencing manis jenis glibenclamide oleh seorang doktor di klinik swasta. Memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat, dia telah beralih ke klinik kesihatan kerajaan untuk menyambung ubatnya.

Selepas pendaftaran di klinik diabetes, doktor yang merawat beliau, seorang yang kelihatan muda telah memberikan ubatan yang berlainan daripada doktor di klinik swasta sebelum ini. Agak terkejut dengan perubahan tersebut, beliau bertanya kepada doktor tersebut dengan suara yang agak tinggi.

Dengan sabarnya, doktor muda tersebut menerangkan bahawa ubat baru yang diberikan tersebut bersesuaian dengan Ali kerana saiz badan Ali yang besar dan tahap pemakanan Ali yang agak tidak terkawal. Buat pertama kalinya, Ali mendengar perkataan BMI iaitu Body Mass Index (Indeks Jisim Badan).

Hati Ali tidak senang. Beliau balik ke rumah dan meneruskan ubatan yang diberikan oleh klinik kesihatan. Beliau mencari di gugel, sesawang pencarian maklumat yang terkenal. Beliau menaip “kencing manis dan ubat terkini”. Dalam sekelip mata, beratus ratus maklumat muncul dihadapan mata.

Daripada 25000 carian yang muncul, beliau tertarik denga satu petikan jurnal perubatan yang bertajuk “70 daripada 100 pesakit kencing manis yang menerima metformin menjadi lebih gemuk selepas memakannya selama 6 bulan.” Selepas membaca jurnal tersebut, beliau yakin bahawa doktor di kilinik kesihatan telah memberi ubatan yang salah dan mungkin membahayakan kesihatan beliau. Beliau mencetak kajian tersebut dan tidak lagi mengikuti temujanji seterusnya. Dalam hati kecil Ali, “Doktor muda! Mana tahu apa apa!”

Maklumat yang terlalu banyak boleh memeningkan kepala mereka yang melihatnya. Walaupun artikel tersebut merupakan sebuah artikel dari journal, namun ia perlu dibaca dengan berhati hati. Lebih lebih lagi dengan jurnal yang kurang berkredibiliti.

Setiap penemuan dalam kajian perubatan memerlukan interpretasi yang berhati hati oleh pembacanya. Adakah kajian tersebut melibatkan sampel kajian yang layak? Adakah ubat yang dikaji menggunakan syor ubat yang sesuai? Adakah sebarang kesan sampingan dilapurkan? Siapakah pembiaya kajian tersebut – adakah pembiaya tersebut mempunyai matlamat persendirian? Faktor seperti saiz sampel kajian, kriteria pemilihan sampel, kaedah kajian, intervensi dan kawalan kajian, durasi kajian, definisi yang digunakan – semuanya mempengaruhi interpretasi seseorang pembaca akademik.

Sebab itulah, dapatan daripada satu kajian sahaja tidak dapat dijadikan sebagai bukti kukuh yang perlu dipegang secara mutlak. Pelbagai faktor boleh mempengaruhi keputusan kajian tersebut. Kita mungkin bersetuju atau tidak dengan dapatan kajian tersebut. Namun demikian, maklumat tersebut sudah tentu masih penting dan tidak boleh dibuang begitu sahaja. Kelemahan dari satu satu kajian tersebut perlu diselidiki sehinggakan ulangan kajian perlu dilakukan sekiranya perlu.

Ulangan kajian boleh dijalankan dengan menggunakan kaedah baru, sampel yang berlainan, teknik ujian statistik yang lebih mantap dan sebagainya. Semua ini untuk memberikan kekuatan kepada kaedah kajian yang diharap dapat memberikan hasil kajian yang mantap dan boleh dipercayai.

Kajian yang dijalankan mempunyai rekabentuk kajian yang tersendiri. Jenis rekabentuk kajian yang dipilih mempengaruhi kualiti dapatan kajian kelak. Rujuk piramid kualiti kajian yang dipaparkan. Yang paling bawah, merupakan kajian bersifat memerhati dan pendapat peribadi. Semakin ke atas, rekabentuk kajian semakin sulit dan kualiti dapatan kajian turut bertambah baik. Kesulitan kajian tersebut bertambah apabila lebih banyak bias (ketidakadilan) perlu dikawal dan dielakkan daripada menusuki kajian.

ArI1jBcEMhj-E0Qb-N3sAqHkLA58Y5ESe79MviMwXUL1

Seluruh dunia perubatan sedang melakukan kajian setiap masa bertujuan membantu kehidupan manusia. Ini wajar, otak kurniaan Ilahi yang diamanahkan untuk membantu insan yang lain. Dalam setahun sahaja, bilangan kajian yang diterbitkan melebihi 30 000! Adakah adil jika kita mengambil satu kajian sahaja yang menyokong pendapat kita sedangkan 95% kajian yang lain tidak sebulu dengan kita?

Dengan itu, satu sistem penilaian diperlukan untuk mengkaji hasil kajian yang dibentangkan seluruh dunia. Kaedah kajian ini dinamakan “Systematic review” atau penilaian sistematik. Semua kajian yang berkaitan dan menjawab satu persoalan spesifik dikumpul, disaring dan dikaji. Sebagai contoh, sains perubatan mempunyai kemusykilan sekiranya vitamin C dapat mengurangkan tempoh jangkitan tekak. Daripada beratus ratus kertas kajian, malah beribu ribu kajian disaring untuk mendapatkan bukti yang kukuh yang diharap dapat menjawab persoalan itu tadi. Semua dapatan tersebut dikaji secara statistik dan akhirnya, apa yang kita dapat adalah satu kajian yang besar yang melibatkan beribu ribu kajian kajian kecil tersebut. Hasil yang didapati sudah tentu lebih mustahak dan boleh dipercayai daripada bergantung hanya kepada satu kajian sahaja.

Warga kesihatan senantiasa berusaha untuk mengumpul dan mengkaji balik hasil hasil kajian agar mendapat kesimpulan yang mantap. Kesimpulan ini kelak akan mempengaruhi pemilihan rawatan para doktor ketika merawat. Dalam keadaan di mana rawatan yang pasti tidak dapat diberikan secara terus dan automatis, perbincangan dengan pesakit perlu dilakukan. Maklumat dari hasil kajian inilah yang akan menjadi dalil bagi membantu pesakit untuk mencapai keputusan bersama yang memuaskan.

Antara contoh yang melibatkan penambah baikan kepada dalil rawatan perubatan terdapat dalam kawalan kolesterol. Penurunan paras kolesterol merupakan petunjuk kepada kejayaan rawatan dan dengan penurunan tersebut, risiko seseorang untuk mendapat serangan jantung adalah lebih rendah. Namun demikian, penelitian kajian kajian melalui penilaian sistematik telah memberi keyakinan yang baru kepada masyarakat perubatan dunia bahawa paras LDL (kolesterol “jahat”) merupakan indikator yang penting yang perlu dikawal untuk mengurangkan komplikasi kesihatan kepada jantung.

Dengan ini, masyarakat diharap dapat memahami bahawa ilmu perubatan senantiasa berkembang dan berevolusi. Setiap hari banyak kajian baru yang mempunyai kualiti yang berbeza beza diterbitkan semata mata untuk menambah khazanah dalam gedung ilmu. Pembacaan jurnal tersebut perlulah dilakukan dengan kewaspadaan yang tinggi.

Dr. Helmy Hazmi ialah pakar perubatan komuniti dengan major dalam Epidemiologi dan Biostatistik. Beliau kini bekerja di kampung halamannya, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Untuk maklumat lanjut, lawat laman ‘The Team’.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box