Berdengkur: Bunyi Amaran Tidur – Dr Ahmad Nordin

– Anda perlu hadir mesyuarat pagi ini. Sepatutnya bangun pada 6:00 pagi, tetapi anda mampu beralih dari katil pada 6:30 pagi. Anda memandu ke tempat kerja, tetapi jalan raya sudah mulai sesak apabila anda keluar dari rumah. 
– Apabila di lampu isyarat hijau, tiba-tiba anda dikejutkan oleh bunyi hon kereta dari belakang. Pada ketika itu baru anda sedar, anda telah tidur sepanjang masa lampu isyarat masih merah sebelum itu. 
– Semasa mesyuarat, ketika bos anda bercakap, anda tertidur. Paling memalukan ialah, bos anda menyindir tabiat anda tidur semasa mesyuarat dan semua yang hadir ketawa besar bila anda berdengkur. 
Pernah anda mendengar kisah begini? Anda tahu apa kaitan semua masalah ini? Semuanya tersirat di ayat terakhir perenggan di atas- berdengkur.
Berdengkur ialah bunyi yang dihasilkan oleh salur pernafasan atas yang separa tersumbat semasa tidur. Ia boleh tersumbat di hidung, lelangit lembut, tekak atau lidah. Apabila kita sedar, badan kita biasa tegak dan mempunyai ketegangan otot yang kuat, maka kita tidak berdengkur. Tetapi apabila kita tidur, kita biasanya akan baring dan lidah akan jatuh ke belakang. Kita akan kurang ketegangan otot semasa tidur, dengan ini bunyi dengkuran akan semakin kuat.
Pada ketika ini, paras oksigen yang ada dalam badan semakin rendah. Dalam kes yang teruk, paras ini menjadi terlalu rendah sehingga kita berhenti bernafas (ini dipanggil apnea). Nasib baik untuk semua, otak kita akan bertindak dalam beberapa saat selepas itu dan otak akan mengejutkan badan semula untuk bernafas.
Jika anda melihat seorang yang berdengkur dalam situasi ini, dia akan pada mulanya berdengkur dengan berterusan. Selepas berdengkur berulang kali, anda akan berasa hairan sebentar kerana dia akan berhenti berdengkur buat seketika. Lebih kurang 15 saat selepas itu, dia akan secara tiba-tiba mencungap menyedut nafas Selepas itu, dia kembali menjalani kitaran berdengkur & tercungap-cungap bernafas. Dan episod ini akan berterusan berulang kali semasa tidur.
Bahayanya, paras oksigen dalam badan akan menjadi sangat rendah apabila kita tidur dan berdengkur. Jantung akan perlu mengepam dengan lebih kuat untuk memenuhi keperluan oksigen badan. Jantung yang sepatutnya berehat di waktu malam, terpaksa bekerja dengan lebih kuat sebaliknya. Akhirnya, ini akan menyebabkan penyakit hypertensi (tekanan darah tinggi). Ini dipanggil ‘Obstructive Sleep Apnea’ (OSA).
Tanda & gejala OSA yang lain:
  • Mengantuk melampau di waktu pagi (seperti cerita di atas)
  • Kurang daya tumpuan
  • Sakit kepala di waktu pagi
  • Tidak lena tidur
  • Tercungap dan tercekik di waktu malam
  • Sakit dada di waktu malam
  • Dengkuran kuat sehingga mengganggu tidur pasangan
  • Terbangun akibat tercekik dan tercungap
  • Sakit tekak
Diagnosis ialah melalui sejarah penyakit dan pemeriksaan klinikal. Doktor ENT akan menjalankan pemeriksaan lengkap dan menggunakan skop nasofarinks & larinks fleksibel (flexible nasopharyngolaryngoscopy – FNPLS). Ini dilakukan untuk mencari tempat yang sempit dalam pernafasan. Jika perlu pembedahan, bahagian yang sempit ini perlu dirawat mengikut teknik tertentu.
Bukan semua yang berdengkur ada penyakit OSA. Jika seseorang disyaki menghidap penyakit OSA, beliau perlu menjalani ujian tidur (sleep study). Badan pesakit akan  dilengkapkan dengan sistem pemantauan semasa tidur. Data akan direkod untuk mengukur tahap apnea. Ujian ini boleh dijalankan di hospital atau di rumah, bergantung dengan alat yang ada di jabatan yang menjalankan ujian.
Rawatan untuk berdengkur dan OSA termasuk:
Kurangkan berat badan- cara paling efektif dan termurah terutamanya mereka yang lebih berat badan. Disarankan 10% penurunan berat badan sudah cukup untuk menurunkan gejala OSA. Walaupun demikian, ada sebahagian pesakit mengalami tidur yang lebih selesa walaupun berat badan mereka turun dalam beberapa kilogram sahaja. Jangan berputus asa.
Mesin CPAP (Continuous Positive Airway Pressure)- mesin ini menyalurkan tekanan udara ke salur pernafasan melalui topeng untuk mengekalkan salur udara tersebut terbuka. Ini ialah rawatan terbaik setakat ini, tetapi kurang sambutan dari pesakit kerana harganya agak mahal. Ada yang kurang selesa tidur menggunakan topeng dan ada yang mengalami mulut kering pada hari berikutnya.
Posisi tidur- paling baik ialah tidur mengiring di sisi untuk mengurangkan dengkuran. Ada beberapa teknik yang boleh digunakan untuk mengekalkan posisi anda di sisi; antaranya ialah menjahit bola tenis di belakang baju tidur, tidur menggunakan beg sandang belakang (backpack), dan lain-lain.
Alatan di mulut (oral appliances)- ini ialah di antara beberapa alat yang dipasang di dalam mulut semasa tidur untuk mengekalkan salur nafas dari menjadi sempit. Ada yang menolak rahang bawah ke depan, ada yang menarik lidah ke depan, dan beberapa yang lain.
Pembedahan- pelbagai jenis pembedahan boleh dijalankan, ini bergantung kepada struktur dan tempat sempit yang menyebabkan dengkuran. Untuk kanak-kanak, sebab utama berdengkur ialah tonsil yang besar dan kadangkala juga dengan adenoid yang besar. Kebanyakkan kanak-kanak akan hilang berdengkur selepas pembedahan ini (sila rujuk artikel sebelum ini:  )
Kesimpulannya, berdengkur tidak sepatutnya dipandang remeh. Ia bukan sekadar masalah sosial, ia juga sebagai tanda amaran untuk kita sedar akan penyakit yang ada di sebaliknya. Ya, ia adalah sebagai siren yang berbunyi semasa tidur, dan ia sedang memanggil kita untuk mendapat pertolongan. Sila lakukannya.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan
2. Clinical Guideline for the Evaluation, Management and Long-term Care of Obstructive Sleep Apnea in Adults
J Clin Sleep Med 2010 June 15 6(3)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box