Bayi Suka Susu Ibu! – Muhammad Ihsan Khalib Jaafar

Source: happybabysolutions.com

Picture: happybabysolutions.com

Sebagai seorang bakal pengamal perubatan, saya tidak boleh menafikan bahawa susu ibu merupakan makanan terbaik untuk bayi. Walaupun saban hari kita dihidang dengan aneka iklan yang mempromosi kelebihan susu-susu formula, umum mengetahui bahawa susu yang dihasil dengan penuh kasih sayang oleh para ibu demi anak-anak yang disayangi tidak akan dapat ditandingi oleh alternatif seperti itu. Ini kerana, susu ibu sarat dengan pelbagai nutrien yang amat penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.

Merujuk kepada garis panduan mutakhir yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan Malaysia, pakar kanak-kanak menyarankan pemberian susu ibu secara ekslusif bagi anak-anak sehingga berumur 6 bulan. Selepas tempoh tersebut, para ibu digalakkan untuk meneruskan penyusuan tanpa mengabaikan pemberian makanan lain. Pun begitu, penyusuan anak-anak secara berterusan merupakan suatu cabaran bagi wanita-wanita warga kota marcapada ini. Cuti pasca bersalin yang pendek dan kesibukan kerja menjadi faktor penarik bagi para ibu moden untuk memberikan susu formula kepada anak-anak mereka. Mengejutkan, dapatan saya sendiri mendapati rata-rata para ibu Malaysia hanya menyusukan anak-anak mereka untuk tempoh tidak lebih dari dua bulan. Menyedari kelemahan-kelemahan jangka masa pendek dan panjang hasil penggunaan susu formula untuk anak-anak, satu solusi harus diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran para ibu di Malaysia untuk memberikan susu ibu kepada bayi mereka.

Penggunaan EBM, “Expressed Breast Milk” atau susu ibu yang diperah semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita zaman moden. Walaupun EBM tidak dapat menandingi kelebihan yang akan diperoleh oleh ibu dan anak melalui penyusuan secara konvesional, EBM merupakan alternatif yang lebih baik jika dibandingkan dengan pemberian susu formula kepada bayi. Apa yang lebih menarik, EBM juga sebenarnya lebih murah untuk dihasilkan. Walaubagaimanapun, susu yang telah diperah harus disimpan dengan cara yang betul agar tidak menjadi basi dan memudaratkan anak-anak. Bagi susu segar yang tidak dimasukkan ke dalam peti sejuk, susu tersebut haruslah diberikan kepada bayi dalam tempoh tidak lebih dari 4 jam. Sekiranya susu tersebut dimasukkan ke dalam peti ais yang menggunakan satu pintu atau lebih dikenali sebagai “chiller”, susu tersebut harus digunakan dalam tempoh 5 hari. Jika anda menggunakan peti ais yang menggunakan dua pintu, simpanlah susu tersebut di bekas penyejuk beku diatas. Susu tersebut perlu diberikan kepada anak anda selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu bagi ‘freezer’ peti ais satu pintu dan 3-6 bulan bagi ‘freezer’ peti ais yang mempunyai 2 pintu. Sekadar perkongsian, kalau anda memiliki mesin pembeku yang boleh mencapai kesejukan di bawah -18oc, anda boleh menyimpan susu tersebut untuk tempoh 6 bulan. Harus diingat, susu yang disejuk atau dibekukan mestilah dipanaskan dengan cara yang betul agar khasiat susu tersebut terpelihara. Jangan sesekali menggunakan ketuhar gelombang mikro mahupun memanaskannya diatas api. Sebaliknya, rendamlah susu tersebut di dalam air suam dan tunggu sehingga ia cair sendiri. Susu yang telah dicairkan mesti diberikan kepada anak anda dalam tempoh tidak lebih dari 24 jam.

Satu persoalan yang ingin saya bawakan dalam artikel kali ini adalah, apakah cara yang boleh kita lakukan sekiranya seseorang ibu tidak dapat menyediakan susu untuk anak mereka? Pemberian susu ibu daripada wanita lain yang berkemampuan adalah solusi yang baik malah digalakkan di dalam Islam. Islam tidak melarang seseorang wanita muslim untuk menyusukan anak-anak orang Islam mahupun yang bukan muslim. Islam juga membenarkan anak seorang muslim untuk disusukan oleh seorang bukan Islam, walaupun ada pendapat yang mengatakan penyusuan ini makruh/tidak digalakkan hukumnya. Walau apa pun, ibu yang ingin memberikan susu tersebut haruslah diketahui orangnya. Ini kerana, di dalam Islam, apabila seseorang wanita telah menyusukan anak orang lain yang berumur bawah dua tahun Qamariah (dua tahun mengikut kalendar Islam) sebanyak 5 kali, ia telah menjadi ibu susuan kepada bayi tersebut dan dia serta keluarganya dikira sebagai mahram (orang yang haram dikahwini) kepada anak terbabit. Hukum ini terpakai buat segala jenis penyusuan, sama ada yang menyusu secara konvensional mahupun yang menggunakan EBM. Begitu juga jika seseorang wanita menyusukan dua orang anak, kedua-dua anak tersebut dikira sebagai mahram dan adik-beradik susuan di dalam Islam.

Persoalan kedua, bolehkah susu EBM itu dijual mengikut perpesktif Islam? Dari kaca mata Islam, ibu susuan bukan sahaja harus dibayar upah, malah sebenanrnya mereka digalakkan untuk diberikan upah. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-baqarah ( 2: 233) yang bermaksud

Dan kalau kamu hendak menyusukan anakmu kepada wanita lain, tidaklah mengapa jika kamu berikan pembayaran mengikut sepatutnya.”

 

Namun, tidak ada salahnya jika wanita terbabit menolak untuk menerima sebarang upah.

 

Persoalan terakhir, bolehkah umat Islam menubuhkan atau menyertai Program Bank Susu? Merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 20 Disember 2012, hukum penubuhan bank susu ibu adalah tidak diharuskan kerana :

(i) Penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab/keturunan dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram; dan

(ii) Keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam.

Alternatif yang lebih baik bagi umat Islam berbanding penubuhan Bank Susu adalah penyertaan di dalam program “Milk-swapping network” contohnya Human Milk 4 Human Babies (sila layari https://www.facebook.com/hm4hbmalaysia). Melalui program “Milk-swapping” atau perkongsian susu ibu, para ibu bukan sahaja dapat menjaga nasab/keturunan anak-anak mereka, mereka juga dapat berkenalan diantara satu sama lain serta berkongsi tentang kaedah penjagaan anak-anak mereka.

Susu ibu, bayi suka,

Tepuk dada,tanya selera.

Muhammad Ihsan Bin Khalib Jaafar.

Pelajar perubatan tahun 4

Universiti Malaysia Sarawak

Rujukan :

  • Clinical Practice Guidelines : Perinatal Care
  • Al-quran Al-kareem
  • https://www.e-fatwa.gov.my
  • Human Milk 4 Human Babies facebook page.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

1 comment for “Bayi Suka Susu Ibu! – Muhammad Ihsan Khalib Jaafar

  1. January 28, 2015 at 5:00 pm

    namun ibu-ibu sekarang ramai yang sudah membuka mata mengenai kepentingan penyusuan susu ibu. Sudah banyak kumpulan sokongan ditubuhkan, hampir disetiap pejabat punyai bilik laktasi sendiri. Alhamdulillah saya juga telah berjaya menyusukan 2 orang anak selama 3 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box