Bagaimana Menambahbaik Amaran Pada Kotak Rokok? #SmokeFreeMY – Ms Helen Tee Guat Hiong & Dr Tahir Aris

cigarette-smoking_2195344bTerdapat bukti menunjukkan amaran kesihatan dengan gambar-gambar foto berwarna [disebut: amaran kesihatan bergambar/pictorial health warnings (PHW)] ialah satu cara yang berkesan untuk mencegah amalan merokok. Ini dilakukan dengan memprovokasi minda tentang risiko penggunaan tembakau, menambah motivasi dan hasrat berhenti merokok dan turut dikaitkan dengan lebih banyak percubaan berhenti merokok. PHW juga mengganggu impak imej jenama dan mengurangkan tarikan yang ada pada kotak tersebut, justeru menghilangkan niat mula merokok kepada semua, termasuklah golongan yang terdedah seperti wanita, kanak-kanak dan remaja. Tambahan pula, amaran bergambar PHW mampu mencapai golongan yang tidak berapa pandai membaca.

Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan enam amaran bergambar PHW pada Jun 2009. Tinjauan Tembakau Dewasa Sedunia (Global Adult Tobacco Survey/GATS), Malaysia melaporkan pada tahun 2011, bahawa 92.8% perokok semasa (93.2% golongan lelaki, 74.7% golongan wanita) terperasan akan amaran kesihatan pada kotak rokok, namun hanya 45.8% daripada perokok semasa yang terfikir untuk berhenti merokok selepas melihat label tersebut.

Satu ringkasan dasar telah disediakan untuk menentukan kaedah menambahbaik keberkesanan amaran kesihatan pada kotak rokok. Daripada tinjauan sistematik dan kajian primer, tiga opsyen telah dikenalpasti untuk menangani isu ini.

Opsyen 1 – Tukar grafik amaran bergambar

Opsyen ini mencadangkan supaya amaran bergambar yang sedia ada ditukar kepada set baru dengan gambar yang lebih besar, lebih berimpak, mesej amaran yang jelas dan tambahan maklumat berhenti merokok. Sebagai tambahan, melarang penggunaan warna dan ciri-ciri yang menarik golongan yang mudah terpengaruh seperti wanita, remaja dan kanak-kanak. Opsyen 1 ini meningkatkan impak amaran bergambar dalam mengurangkan niat mula merokok dan meningkatkan pemberhentian produk tembakau. Kelebihan Opsyen 1 termasuklah mempertingkatkan maksud amaran kesihatan, mengurangkan salah tanggapan terhadap risiko, menggalakkan berhenti merokok, mengurangkan daya tarikan dan hasrat membeli dan juga kerentanan terhadap rokok.

Opsyen 2 – Memperkenalkan kotak rokok polos (warna tidak menarik)

Beban merokok yang melanda dunia telah mencetuskan pengenalan kotak rokok polos untuk mengurangkan impak promosi pada kotak rokok. Maka Opsyen 2 mencadangkan supaya impak amaran bergambar dilipat gandakan dengan mengurangkan daya tarikan kotak rokok melalui pelaksanaan kotak polos. Kelebihan kotak polos ialah: menambah keberkesanan amaran kesihatan, mengurangkan salah persepsi kebahayaan lain-lain jenama; mengurangkan kerentanan merokok; mengurangkan hasrat membeli dan menggalakkan berhenti merokok.

Opsyen 3 – Mencetak teks mesej amaran kesihatan pada setiap batang rokok

Opsyen 3 akan memastikan teks mesej kesihatan dibaca oleh perokok walaupun tanpa kotaknya. Maka, dicadangkan supaya wajib mencetak mesej khusus pada setiap batang rokok cth: “Merokok Membahayakan Kesihatan”. Langkah ini akan dapat mendedahkan perokok kepada teks amaran setiap kali mereka menyalakan rokok, dan teks ini juga dapat membezakan rokok sah (membayar duti rokok) dan rokok seludup supaya dapat dikesan oleh pegawai penguatkuasa. Kelebihan mencetak teks amaran pada setiap puntung rokok termasuklah: dapat menampakkan beza rokok sah dan rokok seludup, membolehkan tindakan diambil ke atas pengguna rokok seludup oleh pegawai penguatkuasa, mengurangkan rokok seludup dan memberi amaran kepada perokok akibat tabiat merokok.

Pelaksanaan ketiga-tiga opsyen di atas seharusnya mendapat sokongan padu daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pengguna. Dalam masa yang sama, akan terdapat halangan pelaksanaan dalam salah satu opsyen seperti tentangan daripada industry rokok; berkaitan kos, kurangnya tarikan jenama, kurangnya jualan rokok dan mengurangkan untung kepada industri.

Artikel ini diharap dapat mendidik khalayak tentang usaha-usaha semasa mengurangkan penggunaan rokok oleh Kerajaan Malaysia sebagai peserta rangka kerja Konvensyen Kawalan Tembakau (framework Convention on Tobacco Control/FCTC). Masyarakat seharusnya menjangkakan pihak pembuat dasar mewajibkan amaran bergambar yang jelas untuk menggalakkan perokok berhenti merokok dan melaksanakan undang-undang bebas rokok sebagai pelengkap label amaran bergambar. Akhirnya, adalah diharapkan agar Malaysia akan tampil bersama-sama Negara seperti Brunei, Thailand, Singapura dan Australia menyeru kepada masyarakat, bahawa kotak yang polos akan menghindar generasi muda daripada merokok, melalui kempen berinformasi dalam media yang mensasarkan anggota masyarakat.

Cik Helen Tee Guat Hiong dan Dr. Tahir Aris ialah penyelidik daripada Institut Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia. Cik Helen ialah penyiasat primer untuk penyediaan ringkasan polisi tentang “Menambahbaik Keberkesanan Amaran Kesihatan pada Kotak Rokok”. Cik Helen juga ahli NARCC.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box