Bagaimana Kaunseling Dapat Membantu Pengurusan Tuberkulosis? – Ms Tan Li Yin

TB

Source: www.theguardian.com

Sekiranya anda membaca akhbar baru-baru ini, saya yakin ramai yang tersentak dengan statistik tuberkulosis (tibi) yang menggemparkan, sebagaimana yang dilaporkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. Tuberkulosis ialah penyakit kedua paling menular di dunia selepas HIV/AIDS. Tahun lepas, dalam 2013 sahaja, 24,071 kes dilaporkan dengan 1,597 kes maut akibat tibi. Berbanding tahun 2012, kes tibi meningkat 6% dalam 2013 dan peningkatan sebanyak 13% kes maut. Pada 2012, 22,710 kes dilaporkan dan sebanyak 1,414 kes tersebut berakhir dengan kematian.

Peningkatan kes mungkin disebabkan oleh bertambahnya pendatang ke dalam negara. Saringan dan pengesanan tibi terhadap orang asing adalah mesti. Daripada jumlah kes yang dilapor pada 2013, 13% disumbangkan oleh pendatang dan 86% ialah warganegara. Sehingga kini, Sabah mencatatkan jumlah kes tibi tertinggi yang dilaporkan, diikuti Selangor, Sarawak dan Johor. Jika tiada langkah wajar yang diambil, satu pesakit boleh menjangkitkan seramai sepuluh orang dalam komuniti! Penting untuk mengamalkan sikap berhati-hati di kalangan kumpulan berisiko tinggi mendapat tibi contohnya kanak-kanak, pesakit HIV positif, warga emas, penghidap diabetes dan mereka yang lemah daya tahan badan.

Sehingga kini, kempen kesedaran dan promosi tibi telah dijalankan di seluruh negara. Kesedaran tentang penyakit ini membantu menjelaskan fakta mengenai penyakit tibi. Kadang kala penyakit tibi dikaitkan dengan stigma, menimbulkan ketakutan masyarakat terhadap pesakit tibi. Pencegahan penyakit ini dilakukan dengan pemvaksinan BCG (Bacillus Calmette-Guerrin), untuk melindungi bayi baru lahir daripada bentuk-bentuk tibi yang parah. Apa lagi yang boleh dilakukan? Pengurusan tibi seharusnya ditangani pada peringkat akarnya. Pesakit yang menerima rawatan seharusnya mendapat taklimat dan nasihat yang teliti daripada doktor/ahli farmasi/pendidik kesihatan mengenai:

  1. Peranan dan fungsi ubat anti-tibi mereka;
  2. Terapi DOTS (Directly Observed Therapy, Short-course/Terapi Pemantauan Langsung, Jangka pendek) ubat tibi dan memastikan kepatuhannya, dan;
  3. Kesan sampingan ubat-ubatan.

Peranan dan fungsi ubat anti-tibi

Pesakit haruslah dimaklumkan, dalam istilah-istilah yang difahami, tentang terapi intensif mereka (gabungan ubat anti-tibi yang konvensional atau rawatan ethambutol, pyrazinamid, isoniazid dan rifampicin termasuk pyridoxine secara individu) dan terapi senggaraan (isoniazid dan rifampicin). Peri penting melengkapkan terapi juga mestilah ditekankan.

tableFungsi terapi DOTS dan memastikan kepatuhannya

Profesional bidang kesihatan seharusnya memainkan peranan dengan menekankan semula DOTS (Terapi Pemantauan Langsung, Jangka pendek) yang melibatkan memantau pesakit menelan ubat mereka. Tidak asing lagi terdapat sesetengah pesakit yang didiscaj daripada klinik dan hospital tibi bersama-sama ubat tetapi tidak mengikut rawatan susulan DOTS di klinik berhampiran. Akibatnya, mereka mungkin memonteng rawatan susulan dan menimbulkan kerintangan multi-ubat dalam terapi tibi. Kepatuhan kepada ubat anti-tibi mestilah dipaksakan. Fasa intensif untuk ubat anti-tibi konvensional ialah 2 bulan diikuti dengan fasa senggaraan selama empat bulan. Dengan memahami bagaimana melengkapkan ubat dapat menghapuskan tibi, pesakit mungkin lebih sukarela untuk patuh dan melengkapkan terapi.

Kesan sampingan ubat

Akhir sekali, kesan sampingan ubat mestilah dijelaskan sepenuhnya kepada pesakit agar mereka tahu apa yang bakal berlaku. Ini juga membenarkan pesakit lebih waspada kepada ubat mereka. Kita biasa dengar sesetengah pesakit meninggalkan terapi ubat mereka selepas mendapati air kencing atau air mata mereka berubah kepada oren atau merah. Mereka menyangka ini sebagai pendarahan walhal ini kesan sampingan biasa ubat rifampicin. Kesan-kesan sampingan lain yang biasa akibat ubat anti-tibi yang konvensional adalah seperti yang disenaraikan.

Kita semua patut terima hakikat beberapa implikasi akibat ingkar makan ubat. Bala yang bakal menimpa termasuklah sebaran kuman tibi yang rintang-ubat, lebih ramai yang terdedah dan terjangkit kepada tibi dan pastinya, lebih banyak dana diperlukan oleh Kementerian Kesihatan untuk mengatasi masalah ini. Kesimpulannya, semua orang mesti memainkan peranan untuk menangani rebakan tibi waima menjaga diri dengan memakai topeng muka, mengehadkan pertemuan dengan pesakit tibi semasa tempoh mudah berjangkit, menyebarkan kesedaran berkenaan tibi atau memberi kaunseling dan sokongan yang diperlukan oleh pesakit tibi.

Cik Tan Li Yin seorang ahli farmasi klinikal dan bekerja di Selangor. Beliau percaya akan peri pentingnya pendidikan kepada pesakit. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada https://www.mmgazette.com/how-does-counselling-help-in-tuberculosis-management-ms-tan-li-yin/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

  • Sivanandam H, The star online, “Subra: One patient can potentially infect 10 people.” April 1, 2014. http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/04/01/24071-TB-cases-reported-last-year-Subra-One-patient-can-potentially-infect-10-people/
  • Cruez AF, The sundaily online, “TB second highest contagious disease.” 31 March, 2014. http://www.thesundaily.my/news/1002906
  • Malaysia National Clinical Practice Guideline Management of tuberculosis (3rd edition) , MOH/P/PAK/258.12(GU),Nov 2012
  • Hospital Selayang Drug formulary 1st edition, 2012. X. TB regimen. pp. 241-242

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box