Awie Sudah Ikrar Derma Organ… Ini Semua Bukan Poyo! – Dr. Hirman Ismail

Baru-baru ini, penyanyi rock tanahair, Awie telah berikrar untuk menderma organnya selepas kematian. Sehingga saat artikel ini ditulis, berita tentang ikrar Awie di laman Facebook tabloid hiburan ROTIKAYA berjaya menarik 34,447 “likes” dan 488 komen.

unnamedDari pandangan mata kasar, berdasarkan komen orang ramai tersebut, ada segelintir yang masih belum mengerti perkara asas berkenaan derma organ. Terdapat dua jenis pendermaan organ iaitu pendermaan organ semasa hidup dan juga pendermaan organ selepas meninggal dunia. Kempen yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebenarnya lebih tertumpu kepada pendermaan organ selepas meninggal dunia. Ini kerana, pendermaan organ semasa hidup melibatkan risiko pembedahan kepada si penderma, manakala pendermaan selepas kematian sudah tentu tidak melibatkan sebarang risiko kerana penderma telah pun meninggal dunia.

Organ yang dapat didermakan berbeza bagi pendermaan semasa hidup dan selepas meninggal dunia. Semasa hidup, kita boleh menderma salah satu buah pinggang dan juga sebahagian dari hati kita sahaja. Manakala selepas kita meninggal dunia, kita dapat menderma pelbagai organ seperti buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru serta bahagian badan yang lain atau tisu seperti kulit, tulang dan juga mata.

Takut? Tidak perlu takut kerana pada ketika itu kita telah pun meninggal dunia dan sekiranya organ tersebut tidak digunakan, ianya akan hancur juga. Tugas utama doktor di hospital adalah untuk menyelamatkan nyawa tetapi sekiranya ditakdirkan kita tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia, maka barulah doktor akan pertimbangkan untuk pendermaan organ. Di Malaysia, undang-undang menetapkan bahawa di saat kematian hanya ahli keluarga terdekat yang boleh memberi kebenaran untuk menderma organ si mati, walaupun si mati telah pun berikrar untuk menderma organ. Oleh sebab itulah, KKM menasihatkan agar kita yang telah berikrar memberitahu hasrat kita kepada ahli keluarga seperti suami, isteri, anak-anak atau ibubapa. Ini kerana di saat kematian, merekalah yang akan memberi keputusan. Lagipun, apabila kita meninggal dunia, sudah tentu keluarga kita sedih dan sekiranya kita telah memberitahu hasrat kita lebih awal maka lebih mudah untuk mereka membuat keputusan.

Takut lagi? Mungkin ada ramai di antara kita yang tidak selesa untuk bercakap mengenai kematian tetapi hakikatnya kematian itu pasti sama ada semasa kita muda atau tua. Oleh itu, tidak salah kita berbicara mengenai kematian terutama sekali sesama orang yang terdekat dengan kita; keluarga atau rakan-rakan. Untuk yang beragama Islam, Nabi Muhammad sendiri pernah berpesan untuk mengingati kematian. Semua agama di Malaysia termasuk agama Islam membenarkan pendermaan organ. Sebenarnya fatwa pendermaan organ ini telah lama dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan seawal tahun 1970 yang mengharuskan pendermaan organ. Ramai juga ikon atau “public figure” yang telah menyatakan sokongan termasuk Dato’ Noh Gadut, Tan Sri Harussani, Dr Asri atau Dr MAZA, Imam Muda Asyraf dan Hafiz Hamidun. KKM juga dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerbitkan buku panduan “Islam dan Pendermaan Organ” bagi menjawap persoalan orang ramai mengenai fatwa derma organ.

Mengapa KKM terlalu beria mempromosikan pendermaan organ ini? Buat masa ini, lebih 18,600 rakyat Malaysia yang menunggu untuk mendapatkan organ dan jumlah ini semakin meningkat. Kebanyakan pesakit ini adalah pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis. Cuba bayangkan bagaimana susahnya kehidupan pesakit dialisis yang terpaksa pergi ke pusat dialisis atau hospital tiga kali seminggu, 4-6 jam setiap sesi. Keadaan akan lebih sukar untuk pesakit yang terlalu tua atau pun pun pesakit muda yang masih perlu bekerja menyara keluarga. Dialisis sememangnya membebankan bukan sahaja kepada pesakit malah ahli keluarga. Sekiranya seseorang pesakit itu menerima organ bagi menggantikan organnya yang rosak, maka kehidupan akan kembali seperti biasa. Ada pesakit yang melahirkan rasa syukur kerana pendermaan organ dari insan yang berhati mulia membolehkan mereka menyaksikan perkahwinan anak, menyambung pelajaran, malah ada yang berpeluang menunaikan fardu haji tanpa sebarang kesukaran.

Secara amnya, tahap kesedaran masyarakat dan penerimaan masyarakat bertambah baik. Pada tahun 2014, hampir 38,000 rakyat Malaysia telah berdaftar sebagai penderma organ, jumlah tertinggi pernah dicatat untuk tempoh setahun setakat ini menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang telah berikrar hampir mencecah 300,000 orang. Namun, jumlah ini hanya mewakili 1% dari jumlah populasi negara kita. YB Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam serta YB Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya telah turut sama berikrar dan ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia untuk mula memikirkan secara lebih serius mengenai pendermaan organ. Usaha ke arah perubahan sikap dan penerimaan masyarakat akan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan memiliki mentaliti kelas pertama sebagaimana di negara-negara maju yang lain.

Menteri pun sudah berikrar, artis pun turut sama berikrar, fatwa pun sudah lama dikeluarkan dan cara mendaftar pun sudah dipermudahkan. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera. Jika masih ragu-ragu atau perlu lebih penjelasan, layari www.dermaorgan.gov.my atau www.facebook.com/dermaorgan. Satu ikrar sejuta harapan….

Dr Hirman Ismail

Ketua Unit Perkhidmatan Transplan

Bahagian Perkembangan Perubatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

(MMC no. 40919)

www.about.me/hirmanismail

1 comment for “Awie Sudah Ikrar Derma Organ… Ini Semua Bukan Poyo! – Dr. Hirman Ismail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box