Apakah Yang Pesakit Tenat Mahukan? (Etika dalam perubatan) – Dr Hana Hadzrami

Pic source: Washington Examiner

Ada berbagai-bagai jenis pesakit yang dirawat di Intensive Care Unit (ICU). Ada yang masuk ICU hanya untuk pemantauan; contohnya pesakit yang telah menjalani pembedahan major. Pesakit jenis ini selalunya stabil dan dipantau di ICU selama 24 jam saja. Ada juga pesakit yang mengalami trauma berat yang memerlukan bantuan pernafasan dan pemantauan rapi.

Namun begitu, majoriti penghuni tetap ICU ialah pesakit-pesakit yang berpenyakit berat dan yang mengalami kegagalan organ-organ. Pesakit jenis yang ini akan berada lama di dalam ICU dan memerlukan rawatan rapi.

Nak merawat pesakit dengan tanpa berfikir panjang memang mudah. Namun nak merawat pesakit dengan beretika itulah yang sukar. Apakah yang dinamakan rawatan beretika itu?

Adakah memberi rawatan maksimum kepada pesakit yang tiada harapan sembuh itu beretika? Tidak.

Adakah memberi rawatan maksimum kepada pesakit yang tidak mahu menghabiskan sisa hidupnya terlantar di katil itu beretika? Tidak.

Adakah memaksa seorang yang koma menjalani dialisis itu beretika? Juga tidak.

Setiap hari, kerja doktor ialah membuat keputusan untuk pesakit-pesakit di ICU. Ada pesakit yang kami berusaha berhabis-habisan; ada pesakit yang kami berikan rawatan dengan untuk suatu jangkamasa sahaja (time limited trial), ada pesakit yang kami terus hadkan rawatan hingga ke suatu tahap (limitation of therapy). Dan ada pesakit yang kami hentikan sokongan perubatannya (withdrawal of therapy).

Apakah yang mendorong kami memberi rawatan berbeza-beza begitu? Adakah ia berkait dengan pangkat pesakit? Adakah faktor umur pesakit? Adakah faktor kewangan pesakit? Tidak sama sekali,bahkan itulah sebenarnya etika kami dalam merawat pesakit.

Ada 4 prinsip dalam etika perubatan (Medical Ethics):

  1. Autonomi pesakit (Patient’s autonomy)
  2. Keadilan (Justice)
  3. Kebaikan untuk pesakit (Beneficence)
  4. Tidak mendatangkan keburukan kepada pesakit (Non-maleficence)
  1. Autonomi pesakit (Patient’s autonomy)

Pesakit mempunyai autonomi dalam memilih rawatan untuk diri sendiriN namun beliau perlu faham akan kebaikan dan keburukan setiap pilihannya. Autonomi kebanyakan pesakit di ICU diambil alih oleh ahli keluarga. Walaupun begitu, ia tidak bermakna keputusan untuk rawatan dibuat 100% menurut permintaan keluarga. Ini kerana tidak semua tahu apa yang terbaik untuk pesakit dan keputusan yang dibuat selalunya dikelabui emosi. Apa yang ahli keluarga mahukan kadangkala tidak sama dengan apa yang pesakit sendiri mahukan.

  1. Keadilan (Justice):

Keadilan untuk pesakit tersebut dan juga keadilan untuk pesakit lain. Sumber perubatan yang ada perlulah dikongsi bersama-sama pesakit lain. Jika doktor berhabisan merawat pesakit yang tiada harapan, ianya tak adil untuk pesakit itu kerana rawatan yang dilakukan hanyalah sekadar memanjangkan penderitaannya. Keadaaan ini juga tidak adil untuk pesakit lain yang lebih berhak mendapatkan rawatan tersebut.

  1. Rawatan perlulah untuk kebaikan pesakit (Beneficence):

Pilihan rawatan yang diberi haruslah untuk kebaikan pesakit dan keadaan pesakit perlu bertambah baik dengan rawatan yang diberikan. Jika rawatan diteruskan dengan melulu tanpa memberi faedah untuk pesakit, ianya bukan lagi untuk kebaikan pesakit tetapi untuk kelegaan ahli keluarga pesakit dan mungkin doktor yang merawat sendiri.

  1. Tidak mendatangkan keburukan pesakit (Non-maleficence):

Rawatan yang substandard adalah tidak adil dan tidak bagus untuk pesakit. Begitu juga memberi rawatan maksimum yang hanya memanjangkan penderitaan kepada pesakit yang tiada harapan sembuh.

Baru-baru ini seorang pesakit HIV yang menghidap AIDS telah dibawa ke ICU dengan alasan pesakit itu masih muda dan mengalami sesak nafas. Padahal sebelum itu pesakit sendiri telah menandatangani arahan DNR (Do Not Resuscitate: Jangan resusitasi) untuk dirinya sekiranya dia hampir meninggal dunia.

Semua doktor yang terlibat dalam membawa masuk pesakit itu ditegur oleh pakar perunding ICU. Kenapa? Kerana rawatan yang diberikan tidak lagi mematuhi etika!

Pesakit sebegitu tidak sepatutnya diberi bantuan pernafasan, tetapi terapi rawatan akhir hayat (end of life care) untuk meredakan penderitaan sebelum meninggal.

Pesakit yang sudah sampai masanya untuk pergi patut dibenarkan meninggal dunia dengan aman dan penuh hormat.

Pesakit yang mempunyai harapan pulih yang cerah harus dirawat tanpa mengira umur.

Pesakit yang mempunyai masalah perubatan berat dan jika setiap rawatan yang diberi hanya menambahkan beban kepadanya haruslah dihadkan rawatan.

Pesakit yang sakit teruk namun mempunyai sokongan keluarga yang kuat harus dipertimbangkan sejauh mana ahli keluarga sanggup menanggung dan apa harapan pesakit sendiri.

***

Nak merawat secara semberono memang mudah. Intubasi dan berikan rawatan sokongan hayat saja. Teruskan antibiotik. Teruskan sokongan ubatan jantung. Tulis saja “sambung rawatan ” di pelan rawatan.

Nak merawat dengan adil dan beretika itulah yang sukar. Ianya seni yang perlu dipelajari dan dipraktik sendiri.

Hingga anda boleh meletakkan ahli keluarga sendiri sebagai pesakit; “Jika ini bapa saya, apakah yang saya perlu lakukan? Sejauh mana saya perlu sambung rawatan? Adakah rawatan ini akan memberi manfaat atau hanya akan memanjangkan penderitaannya? Adakah ini yang dia mahukan atau yang saya mahukan?”

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Hana Hadzrami, seorang pakar bius yang juga ahli Medical Mythbusters Malaysia.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box