Apakah Risiko Pengendalian Manual? – Dr Lim Jac Fang

Pengendalian manual sering kali dilakukan di tempat kerja kerana ia melibatkan hampir semua jenis aktiviti kerja dan ia mudah dilaksanakan dan menjimatkan masa. Pada masa yang sama, ia boleh menyebabkan kecederaan akibat sistem pengendalian manual yang lemah.

Pengendalian manual bermaksud sebarang aktiviti mengangkat, menurun, menolak, menarik, membawa, menggerak, mengalih, memegang atau menahan sebarang beban dengan cara manual.

Peruntukan perundangan berkaitan pengendalian manual  adalah dengan merujuk kepada Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 –  Kewajipan majikan & orang berkerja sendiri [sek. 15 (2)(b)] di mana majikan mesti mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja bagi pekerjanya, tetapi juga bagi orang awam manakala  Akta Kilang & Jentera 1967 menyebut tiada seorang boleh diambil bekerja  untuk mengangkat, mengangkut atau mengalih sebarang beban berat sehingga berkemungkinan menyebabkan kecederaan anggota.[sek. 12]. Tujuan perundangan adalah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa dititikberatkan.

manualRisiko pengendalian manual

Aktiviti pengendalian manual melibatkan penggunaan tubuh badan pekerja di mana aktiviti ini secara langsung memberi kesan kepada anggota tubuh badan seperti otot-otot, tulang, urat saraf, pembuluh darah, urat (tendon) dan ligamen. Kemalangan, kecederaan, kematian/lumpuh, peningkatan kos,  kehilangan tenaga kerja mahir dan seterusnya  menjejaskan produktiviti dan kualiti produk/kerja boleh disebabkan oleh pengendalian manual. Antara faktor-faktor risiko  di tempat kerja  yang menjurus kepada masalah ini adalah kekemasan kerja yang tidak teratur, mengendali beban yang berlebihan, kerja yang dilakukan berulang-ulang tanpa memberi masa kepada anggota badan untuk pulih dan postur badan yang lemah/statik.

Punca kemalangan/kecederaan daripada pengendalian manual adalah terlepas beban yang dipegang, dihempap beban yang diletakkan, terjatuh bersama-sama beban yang dikendalikan atau tersentuh permukaan tajam beban.

Kecederaan akibat pengendalian manual (penyakit rangka tulang otot / Musculoskeletal diseases) boleh dibahagikan kepada kecederaan luaran iaitu luka, calar atau terkoyak bahagian anggota badan atau kecederaan dalaman  seperti sindrom terowong karpal (carpal tunnel syndrome),’ tenosynovitis‘,’trigger finger’, ‘thoracic outlet syndrome‘ dan sebagainya.

Golongan perkerja yang manakah berisiko?

Jawapannya tentulah ‘semua pekerja yang melakukan kerja secara manual’ iaitu yang mengangkat beban yang berat dan besar ;

  • berpusing menggunakan pinggang ketika mengangkat beban;
  • menjangkau / capaian yang jauh
  • mengangkat objek yang mempunyai pelbagai bentuk
  • bekerja dalam kedudukan yang sulit/tidak selesa (awkward posture).
Source: health.yahoo.net

Source: health.yahoo.net

Strategi pengendalian yang selamat

Apakah yang patut anda lakukan? Terdapat 3 langkah asas pengendalian yang selamat iaitu:

1. Kenalpasti risiko

Antara kaedah mengenalpasti risiko di tempat kerja ialah dengan menyemak rekod kecederaan pekerja dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan anda di tempat kerja serta mendapat maklumbalas daripada doktor panel tempat kerja. Melakukan pemeriksaan tempat kerja secara berkala supaya bahaya-bahaya atau hazard boleh dikenalpasti dan diatasi sebelum menjadi suatu masalah. Selain  daripada itu, temuduga terus dengan pekerja juga dapat memberi gambaran masalah mereka.

2. Taksir risiko

Bagi proses kerja pengendalian manual, ‘Layout’ tempat kerja, tempoh & kekerapan melakukan tugasan, jarak angkat/perpindahan beban, saiz dan keadaan  beban di ambil kira. Satu kaedah yang boleh digunakan ialah ‘Job Hazard Analysis’; di mana analisa dijalankan ke atas tugas di lakukan dengan teliti.

3. Kawal risiko

Untuk mengatasi masalah pengendalian manual yang telah dikenalpasti, beberapa langkah boleh digunakan untuk tujuan tersebut seperti  mengubahsuai layout tempat kerja supaya lebih teratur dan tiada halangan, ubah cara pemindahan beban, ubah suai kerja/tugasan, ubahsuai beban supaya menjadi lebih senang untuk dikendalikan, pelbagaikan pergerakan badan ketika mengendalikan beban dan juga pentingnya  latihan di dalam aspek pengendalian manual.

Tips-tips pengendalian manual

  • Kenalpasti tugasan/kerja yang hendak dijalankan
  • Kenalpasti beban yang hendak dikendalikan
  • Kenalpasti destinasi beban tersebut
  • Taksir risiko yang bakal dihadapi
  • Pilih kaedah pengendalian yang  paling sesuai
  • Buat perkiraan yang selamat sebelum kerja dimulakan
  • Kaji sama ada berat beban boleh diagihkan
  • Ubahsuai bentuk beban yang besar bagi kemudahan memegangnya
  • Ubahsuai  susun atur tempat kerja dan stesyen
  • Cari alternatif terbaik (tolak, tarik, dan sebagainya) 
  • Kaji teknik mengangkat.
  • Ubahsuai kaedah kerja dengan menggunakan peralatan bantuan
  • Beri latihan bagi pekerja terlibat berkaitan kerja yang akan dijalankan
  • Gunakan kaedah dan teknik yang betul
  • Pastikan pelan kerja dipatuhi

 

Kesimpulan

Masalah pengendalian manual boleh menyebabkan kecederaan anggota luaran atau dalaman kepada pekerja. Kehendak perundangan ada menggariskan peruntukan berkaitan pengendalian manual dan   rancangan pengendalian perlu mengambil kira beberapa faktor seperti berat, bentuk, saiz dan lain-lain keperluan. Ini diikuti dengan menggariskan langkah-langkah keselamatan sebelum dan semasa pengendalian manual untuk mengelak daripada penyakit rangka tulang otot atau musculoskeletal diseases.

Dr. Lim Jac Fang merupakan seorang pakar perubatan perkerjaan yang kini bertugas di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

Rujukan:

  • Current occupational & environmental medicine: fourth edition – Joseph LaDou

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box