Apakah Jenis Interaksi Ubat-Ubatan? – Lee Yee Lin

Source: www.medpagetoday.com

Source: www.medpagetoday.com

Kebanyakan daripada kita sering bertanya berkenaan fungsi dan kesan sampingan ubat-ubatan yang ditetapkan oleh doktor. Adakah anda pernah terfikir berkenaan interaksi ubat-ubatan apabila anda mengambil ubat?

Persoalannya, apakah itu interaksi ubat-ubatan?Ia merupakan tindakbalas antara satu ubat dengan ubat atau bahan lain yang akan mendatangkan kesan yang berbeza daripada kegunaan ubat tersebut.

Sememangnya ubat-ubatan berguna untuk mencegah, mengawal atau menyembuhkan penyakit. Bagaimanapun, interaksi ubat-ubatan boleh menyebabkan sesuatu ubat menjadi kurang berkesan atau sebaliknya dan mungkin boleh membahayakan pesakit.

Terdapat 3 jenis interaksi ubat-ubatan yang utama:

Jenis interaksi yang pertama adalah interaksi antara 2 ataupun lebih daripada 2 jenis ubat-ubatan. Contohnya ubat batuk diambil bersama ubat selsema boleh menambahkan kesan mengantuk dan tidak sesuai untuk menjalankan tugas yang memerlukan tumpuan seperti memandu kenderaan dan mengendalikan mesin berat.

interContoh interaksi yang kedua adalah interaksi antara ubat-ubatan dengan makanan. Jenis interaksi boleh memberikan 2 kesan yang berbeza iaitu mengurangkan keberkesanan ubat atau meningkatkan keberkesanan ubat.  Contohnya penyerapan Vitamin Zat Besi (Iron Tablet ) akan berkurang sekiranya diambil bersama susu. Bagaimanapun Ubat Acarbose (untuk rawatan penyakit kencing manis) perlu diambil bersama makanan untuk meningkatkan penyerapan dan keberkesanan ubat tersebut.  Selalunya makluman berkenaan interaksi ubat dengan makanan yang signifikan akan dimaklumkan kepada para pesakit sewaktu pembekalan ubat di Jabatan Farmasi.

Jenis interaksi yang ketiga adalah antara ubat-ubatan dengan ubat tradisional atau herba. Kebanyakan orang awam tidak menyedari realiti bahawa interaksi sedemikian boleh mengurangkan keberkesanan ubat dan boleh memudaratkan pesakit.  Umpamanya, pengambilan Gingko biloba bersama ubat pencair darah seperti Warfarin dan Clopidoigrel akan menyebabkan pesakit berisiko mengalami pendarahan dalaman. Maka orang awam dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan atau pegawai farmasi sebelum mengambil ubat tradisional bersama ubat-ubatan moden.

Kebanyakan pesakit yan menghidap penyakit kronik perlu mengambil lebih daripada 2 jenis ubat, adakah ini bermaksud interaksi ubat-ubatan perlu dijaga? Jawapannya adalah YA. Walaupun begitu, kita perlu beringat bahawa BUKAN semua interaksi ubat-ubatan akan merbahayakan kesihatan kita.

Sebagai contoh, seseorang pesakit menghidap hipertensi memerlukan lebih daripada 2 jenis ubat untuk penyakitnya kerana gabungan ubat-ubatan diperlukan untuk mengawal paras tekanan darah. Interaksi ubat-ubatan sememangnya wujud di antara ubat-ubatan hipertensi ini tetapi ia merupakan interaksi yang berfaedah.

Nasihat untuk Anda

Sebelum mengambil sebarang ubat, tanya pegawai perubatan atau pegawai farmasi :

  • Bolehkah  ubat ini diambil dengan ubat-ubatan lain?
  • Apakah makanan/minuman yang perlu dielakkan apabila mengambil ubat?
  • Apakah tanda interaksi ubat-ubtan yang perlu diberi perhatian apabila saya mengambil ubat ini?
  • Bagaimanakah ubat ini bertindak di dalam badan saya?

 Peringatan

  • Maklumkan kepada pegawai farmasi/pegawai perubatan sekiranya anda mengambil lain-lain ubat termasuk suplemen kesihatan dan ubat tradisional. Selain itu maklumkan sekiranya terdapat alahan ubat.
  • Maklumkan kepada pegawai farmasi/pegawai perubatan sekiranya anda mengalami kesan sampingan ubat dengan segera.
  • Baca dan ikut arahan serta amaran pada label ubat
  • Berjumpa dengan doktor ataupun ahli farmasi sekiranya anda mengalami kesan sampingan ubat-ubatan.

Lee Yee Lin adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Sabah. Artikel ini pernah disiarkan di akhbar Berita Harian.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box