Apakah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)? – Dr Selvasingam Ratnasingam

iStock_000006214643XSmall_370x278

Source: specialedpost.org

Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) ialah antara gangguan kanak-kanak yang biasa ditemui dan boleh berterusan sehingga usia remaja dan dewasa. Gejala-gejalanya termasuk kesukaran memberi fokus dan perhatian, kesukaran mengawal perilaku dan hiperaktif (terlebih aktif).

Di Amerika Syarikat, 9% remaja berusia antara 13-18 tahun menghidap ADHD. Prevalens ADHD di kalangan kanak-kanak Malaysia tidak diketahui tetapi NHMS 2011 (Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011) menunjukkan yang 1 dalam 5 kanak-kanak Malaysia mengalami masalah psikiatri. Kanak-kanak lelaki berisiko empat kali ganda mendapat ADHD berbanding perempuan.

Diagnosis ADHD perlu kepada kekronikan, ertinya, kanak-kanak itu mesti mempunyai gejala selama sekurang-kurangnya enam bulan dan kemunculan gejala boleh jadi pada sebarang umur sebelum 12 tahun. Walaupun hiperaktif umumnya bertitik tolak pada usia pra-sekolah, mereka selalunya lewat dirujuk kepada doktor, sehingga usia bersekolah. Inilah kalanya ketiadaan tumpuan kanak-kanak, masalah pembelajaran dan tingkah laku mengganggu semakin menyusahkan.

Apakah tanda dan gejala ADHD?

Tiada tumpuan, hiperaktif dan impulsif ialah perilaku utama ADHD. Perkara normal bagi semua kanak-kanak untuk kadangkala hilang tumpuan, hiperaktif atau terburu-buru, tetapi bagi kanak-kanak penghidap ADHD, perilaku ini sangat melampau dan mengganggu fungsi harian. Untuk mencapai diagnosis, seorang kanak-kanak mesti mempunyai gejala selama enam bulan atau lebih dan sehingga ke suatu tahap yang lebih daripada kanak-kanak sebaya umur.

Ciri-ciri tiada tumpuan: (Yang paling sukar dikesan dan selalu terlepas pandang)

Kesukaran menumpukan perhatian atau bersusun atur atau menyiapkan tugas atau mempelajari perkara baru, mudah teralih perhatian, terlepas perincian, lupa perkara dan kerap bertukar-tukar aktiviti, sukar fokus kepada satu-satu perkara, melainkan perkara yang dinikmati. Mereka menjadi bosan dengan satu tugas hanya selepas beberapa minit, mengalami masalah melengkapkan atau menghantar kerja sekolah, selalu kehilangan benda yang perlu untuk menyiapkan tugas. Kanak-kanak yang tiada tumpuan tampak tidak mendengar apabila kita bercakap dengannya, berangan, mudah keliru dan bergerak lambat-lambat. Mereka sukar memproses maklumat secepat dan setepat yang lain dan payah menurut arahan.

Hiperaktif boleh kelihatan seperti:

Tidak senang duduk dan berkisar di kerusi, tak henti-henti bercakap, berlari ke sana ke sini, menyentuh atau bermain apa-apa sahaja yang boleh dicapai, sukar duduk tetap semasa makan, sekolah atau berkisah, sentiasa bergerak dan sukar membuat tugasan atau aktiviti yang senyap-senyap.

Impulsif (keburuan) boleh terlihat seperti:

Sangat tidak sabar, menjawab dengan gelojoh, komen tidak sopan, menunjukkan emosi tanpa tapisan dan tindakan tanpa memikirkan akibat, sukar menunggu perkara yang dihajati atau menunggu giliran dalam permainan dan kanak-kanak ini sering menyampuk perbualan atau aktiviti lain.

Apakah jenis-jenis ADHD?

ADHD ada 3 sub-jenis:

Berat kepada hiperaktif-impulsif

Kebanyakan gejala (enam atau lebih) tergolong dalam kategori hiperaktif-impulsif.

Dalam kriteria tumpuan kurang daripada enam gejala mungkin wujud, walaupun gejalanya masih ada sehingga ke suatu tahap.

Berat kepada tiada tumpuan

Kebanyakan gejala (enam atau lebih) tergolong dalam kategori tiada tumpuan dan kurang daripada enam gejala hiperaktif-impulsif wujud, walaupun hiperaktif-impulsif masih wujud.

Kanak-kanak dengan sub-jenis ini, jarang buat perangai atau mengalami kesukaran berkawan dengan kanak-kanak lain. Mereka mungkin duduk diam, tetapi tidak menumpukan perhatian kepada perbuatan-perbuatan orang lain. Maka, kanak-kanak ini seringkali terlepas pandang dan ibu bapa atau guru MUNGKIN TIDAK PERASAN yang dia menghidapi ADHD.

Kombinasi hiperaktif-impulsif dan tiada tumpuan:

Wujud enam atau lebih gejala tiada tumpuan dan enam atau lebih gejala hiperaktif-impulsif.

Kebanyakan kanak-kanak menghidap ADHD jenis kombinasi.

Rawatan

Dalam kebanyakan kes, ADHD sebaik-baiknya dirawat dengan kombinasi ubat dan terapi perilaku. Tiada rawatan tunggal khusus untuk satu-satu kanak-kanak dan pelan perawatan yang bagus melibatkan pemantauan rapi, rawatan lanjutan dan membuat perubahan-perubahan jika perlu.

Dapatkan bantuan yang sedia ada!

.Jika anda atau guru-guru anak anda prihatin terhadap ADHD, anda bolehlah membawa anak anda berjumpa doktor psikiatri kanak-kanak atau pun doktor perkembangan kanak-kanak, atau bawanya ke Klinik Kesihatan Primer terdekat untuk penilaian lanjut dan rujukan jika perlu.

Dr Selvasingam seorang pakar perunding psikiatri kanak-kanak dan remaja bekerja di Kuching, Sarawak. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada https://www.mmgazette.com/what-is-attention-deficit-hyperactivity-disorder-adhd-dr-selvasingam-ratnasingam/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box