Apa yang Saya Perlu Tahu Mengenai Kanser Hidung? – Dr Ahmad Nordin

Picture: South China Morning Post

Saya rasa pada ketika ini, semua rakyat Malaysia sudah mendengar penyakit kanser hidung. Semua ini setelah berita mengejut bahawa wira sukan kita, Datuk Lee Chong Wei telah diketahui menghidapi penyakit ini. Sejak itu, rakan sejawat saya di jabatan ENT telah diserbu pihak awam yang ingin memastikan hidung mereka bebas dari kanser ini.

Tetapi, apa sebenarnya kanser hidung?

Kanser hidung boleh melibatkan mana-mana bahagian hidung. Kebanyakan kanser hidung bermula dari dalam rongga hidung, jadi ia tidak kelihatan dari luar. Kanser hidung yang paling biasa ditemui ialah yang berasal dari nasofarinks (pangkal hidung di mana udara yang kita sedut akan bergerak sebelum masuk ke tekak). Dari sini, saya akan menjelaskan lebih lnjut mengenai kanser nasofarinks (nasopharyngeal carcinoma / NPC).

Saya tidak pernah mendengar mengenai kanser nasofarinks, adakah ia sering berlaku?

Ia sebenarnya ialah kanser kelima paling sering berlaku di Malaysia. Ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki. Hakikatnya, ia adalah kanser ke-4 kerap dihadapi selepas kanser kolorektal, paru-paru dan kanser prostat di Malaysia. Kaum berketurunan Cina, suku kaum di Sarawak dan Sabah seperti Bidayuh, Iban, Dusun & Kadazan di antaranya, lebih kerap mengalami kanser ini.

Penduduk di benua barat dan dan pelusuk rantau lain jarang menghidapi kanser ini. Mungkin ini antara sebab kurang publisiti dan kesedaran kanser hidung berbanding kanser lain.

Apa yang akan saya rasa dan alami sekiranya saya ada kanser nasofarinks?

Kanser ini amat sukar dikesan pada peringkat awal, kerana kedudukan kawasan hidung ini dalam dan sukar dilihat dari luar. Tetapi, ini ialah antara gejala yang mungkin anda alami:

  • Telinga berasa tersumbat
  • Kurang pendengaran
  • Berdarah dari hidung
  • Air liur atau lendir dari hidung bercampur darah
  • Hidung tersumbat
  • Bengkak di leher (kanser merebak melalui kelenjar limfa leher)
  • Juling, penglihatan menjadi dua (double vision) atau gangguan penglihatan
  • Sakit kepala

Bagaimana saya boleh mengesahkan saya menghidapi kanser ini?

Anda perlu berjumpa doktor ENT di klinik. Alat khas dinamakan skop akan digunakan untuk melihat bahagian hujung dalam hidung, seperti yang ditunjukkan di dalam video. Jika ada ketumbuhan, doktor ENT akan menggunakan alat forsep panjang untuk mengambil sedikit sampel dari ketumbuhan itu. Sampel ini akan dihantar ke makmal dan pengesahan keputusan akan diketahui dalam masa beberapa hari.

Saya diberitahu ada ujian darah mengesahkan kanser hidung, betul kah?

Kanser ini dilaitkan dengan pendedahan kepada virus Ebstein Bar (EBV). Memang ada ujian darah yang mengesan tahap pendedahan kepada virus ini. Aras yang tinggi dikaitkan dengan kanser nasofarinks.

Tetapi, ujian darah ini bukan mengesahkan seseorang itu menghidapi kanser. Anda masih perlu berjumpa doktor untuk skop dan biopsi. Ujian masih berterusan untuk menambahbaik ketepatan ujian ini.

Sekarang sudah disahkan, saya menghidapi kanser hidung. Apa yang perlu saya buat?

Anda perlu menjalani ujian CT scan dari kepala ke abdomen untuk menentukan berapa saiz ketumbuhan tersebut. Kita juga perlu memastikan kanser tersebut belum merebak bahagian badan lain, selalunya ke paru-paru, hati dan tulang.

Untuk kanser nasofarinks, rawatan utama ialah radioterapi. Ia melibatkan radiasi dalam dos yang tinggi ke bahagian hidung dan leher dalam tempoh lebih kurang 7 minggu. Jika ketumbuhan agak besar, kimoterapi akan diberi beberapa kali sebelum rawatan radioterapi.

Bagi kanser hidung dari bahagian selain nasofarinks, pembedahan ialah rawatan utama. Walau bagaimanapun, rawatan berbeza untuk setiap kes, bergantung kepada beberapa faktor.

Bolehkah saya mengelakkan dari menghidap kanser hidung?

Faktor utama bagi pesakit yang menhidapi kanser ini ialah kecenderungan genetik, bermaksud ia lebih kerap berlaku di kalangan kaum dan bangsa tertentu. Faktor ini tidak boleh dielakkan. Ia juga biasa pada yang terdedah kepada virus Ebstein Bar, dan ini juga sukar dielakkan juga.

Ada kaitan kanser ini dengan pemakanan makanan yang diawet, jadi anda boleh mengelakkan ini. Gaya hidup, sihat seperti tidak merokok, tidak mengambil alkohol berlebihan dan selalu bersenam sedikit sebanyak membantu mengurangkan risiko kanser ini.

Apakah peluang sembuh dari kanser ini?

Apabila diberi diagnosis sebarang jenis kanser, tiada peluang 100% sembuh. Untuk kanser nasofarinks, walaupun Tahap 1 peluang untuk hidup dalam 5 tahun hanya 72%. Masalahnya, kebanyakan kanser hidung dikesan lewat kerana kawasan hidung ini sukar diperiksa oleh pesakit dan doktor, kecuali mereka peka akan gejala kanser ini.

Saya berharap agar pemain badminton unggul negara kita akan sembuh dari penyakit beliau, sebagaimana beliau selalu menjuarai perlawanannya di gelanggang.

 

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

  1. Malaysian Cancer Registry 2007 – 2011
  2. http://www.moh.gov.my/penerbitan/CPG2017/QR%20Nasopharyngeal%20Carcinoma.pdf
  3. https://www.cancer.org/cancer/nasopharyngeal-cancer/detection-diagnosis-staging/survival-rates.html

Artikel terdahulu di MMG (East Malaysian perspective)

  1. https://www.mmgazette.com/nasopharyngeal-carcinoma-east-malaysian-perspective-dr-ahmad-nordin/
  2. https://www.mmgazette.com/nasopharyngeal-carcinoma-npc-east-malaysian-perspective-part-2-dr-ahmad-nordin/
  3. https://www.mmgazette.com/nasopharyngeal-carcinoma-npc-east-malaysian-perspective-part-3-final-dr-ahmad-nordin/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box