Apa Yang Anda Patut Tahu Tentang Wabak MERS – Dr Nur Hidayati

South Korea MERS Virus

South Korea MERS Virus

Jangkitan penyakit Middle East Respiratory Syndrome (MERS) adalah jangkitan paru-paru yang disebabkan oleh virus yang dinamakan sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV). Ianya pertama kali ditemui pada 2012 di Arab Saudi.

Jangkitan MERS meliputi tanda penyakit atau gejala seperti demam, batuk, kesukaran bernafas serta gejala melibatkan system gastrousus seperti muntah dan cirit-birit. Virus ini menyebabkan komplikasi yang berbahaya khususnya pada warga emas, pesakit yang kurang daya tahan penyakit (immunodeficient), pesakit yang mengalami penyakit kronik seperti barah, kencing manis dan masalah paru-paru yang kronik.

Daripada kajian setakat ini – virus ini didapati berasal daripada kelawar dan dijangkitkan ke unta. Kemudian, virus ini dijangkitkan kepada manusia. ‘Strain’ virus MERS-CoV yang sama dengan ‘strain’ yang menjangkiti manusia telah dikesan daripada unta di beberapa negara seperti Mesir, Qatar, Oman dan Saundi Arabia.

Untuk mengurangkan kemungkinan penularan wabak MERS, diharap masyarakat Malaysia

Jika anda baru pulang dari Negara Timur Tengah, anda dinasihatkan untuk mengurangkan berjumpa dengan ramai orang dalam tempoh 2 minggu dari tarikh ketibaan di Malaysia. Jika anda tidak sihat selepas pulang ke tanah air, sila datang ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Anda juga dinasihatkan untuk tidak berada di dalam tempat awam yang ramai orang.

Apabila anda melawat ke hospital/klinik, maklumkan kepada doctor yang merawat tentang sejarah perjalanan anda di Timur Tengah (atau kawasan lain yang mengalami wabak MERS). Maklumkan juga maklumat lain contohnya – jikalau anda ada melawat hospital yang mempunyai wabak MERS atau anda berjumpa/bersama individu yang dijangkiti/disyaki menghidapi MERS.

Kepada kaum keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang baru pulang dari Tanah Suci – jika mereka mempunyai sebarang gejala jangkitan respiratori seperti yang dinyatakan dia tas, anda perlu segera membawa mereka untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan.

Jika anda bercadang melawat negara Timur Tengah, anda dinasihatkan sentiasa mengamalkan kebersihan diri semasa di sana dan tidak melawat/memegang binatang seperti unta. Jaga kebersihan diri dengan mengamalkan membasuh tangan dengan tertib dengan sabun atau cecair ‘sanitizer’. Elakkan menyentuh atau berada bersama haiwan yang sakit. Anda juga diingatkan untuk tidak mengambil makanan/minuman mentah, susu yang tidak dipasteurkan dan sumber air yang tidak bersih/selamat.

Individu yang menghidapi penyakit kronik seperti diabetes, masalah buah pinggang, penyakit paru-paru kronik, kanser atau mana-mana individu yang mempunyai system imun yang lemah dinasihatkan untuk mengambil langkah lebih berjaga-jaga. Ini kerana golongan ini lebih berisiko untu mengalami gejala MERS yang serius sehingga boleh membahayakan kesihatan mereka.

Dr Nur Hidayati merupakan doktor pakar bahagian perubatan dalaman di sebuah universiti tempatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di The Team.

Rujukan:

  • WHO Factsheet on MERS http://www.who.int/mediacentre/factsheets/mers-cov/en/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box