Antivenom Dan Kekebalan Badan- Khairul Naim Zainal Abidin

Antivenom ialah serum antitoksin yang berfungsi meneutralkan bisa haiwan seperti ular, kala jengking, labah-labah,ikan dan obor-obor. Penggunaan antivenom merupakan komponen penting dalam pengurusan envenomasi.

Penghasilan antivenom merupakan salah satu aplikasi pengetahuan dalam bidang imunologi & toksinologi. Imunologi merupakan cabang ilmu berkaitan pelalian dan daya tahan penyakit, manakala toksinologi merupakan cabang ilmu yang mengkaji toksin, racun dan bisa yang dihasilkan oleh binatang dan tumbuhan.

 

Sumber gambar rajah : https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/d/d1/Immunity.png/799px-Immunity.png

 

 

Berdasarkan gambar rajah di atas, kekebalan tubuh badan terbahagi dua jenis iaitu:

(a) Kekebalan penyesuaian (adaptive immunity)
(b) Kekebalan semula jadi (innate immunity)

Kekebalan penyesuaian (adaptive immunity) terbahagi pula kepada dua kategori, iaitu secara semula jadi (natural) atau buatan (artificial). Kedua-dua kategori tersebut terbahagi lagi kepada dua kelompok iaitu secara aktif atau pasif.

Antivenom merupakan salah satu contoh kekebalan penyesuaian buatan secara pasif.

Mengapakah antivenom dikategorikan sebagai kekebalan penyesuaian pasif?

Antivenom dikategorikan sebagai kekebalan penyesuaian pasif kerana antivenom merupakan antibodi yang dihasilkan dari luar badan manusia. Antibodi merupakan protein berbentuk Y yang dihasilkan oleh tubuh badan apabila sesuatu toksin dimasukkan ke dalam badan. Toksin akan ternyahaktif apabila antibodi melekat kepada molekul toksin tersebut.

Dalam proses vaksinasi, vaksin disuntik ke dalam badan individu, menyebabkan sistem kekebalan badan individu tersebut menghasilkan respon dengan mengeluarkan antibodi, sel T dan sel B. Semasa proses penghasilan antivenom pula, binatang mamalia seperti kuda atau biri-biri akan disuntik dengan bisa/toksin sesuatu jenis haiwan seperti ular. Bisa tersebut disuntik dalam kuantiti rendah dan tidak melibatkan kematian.

Setelah cukup tempoh masa tertentu, kuda atau biri-biri tersebut akan membina kekebalan terhadap bisa yang telah disuntik ke dalam badan mereka. Darah kuda atau biri-biri tersebut kemudiannya akan diekstrak. Ekstrak darah tersebut akan diproses untuk mengasingkan antibodi. Antibodi tersebutlah yang kemudiannya menjadi komponen dalam sesuatu jenis antivenom.

Contoh Antivenom Yang Terdapat Di Malaysia

Di Malaysia terdapat beberapa jenis antivenom yang disimpan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia dan institusi pengajian tinggi. Contoh antivenom tersebut ialah:

(a) Monovalent Cobra Antivenin*

Antivenom untuk spesis ular tedung

(b) Monovalent Malayan Pit Viper*

Antivenom untuk spesis ular kapak bodoh

(c) Neuro Polyvalent Snake Antivenin*

Antivenom untuk ular tedung, ular tedung selar, ular katam biru dan ular katam tebu

(d) Hemato Polyvalent Snake Antivenin*

Antivenom untuk ular kapak bodoh, ular kapak hijau dan ular kapak Russell

*Senarai antivenom di atas merupakan sekadar contoh. Stok simpanan di fasiliti kesihatan tidak terhad kepada senarai di atas  sahaja.

Mithridatization Dan Bolehkah Kekebalan Terhadap Bisa Dicapai Melalui Vaksinasi

Mithridatization merupakan proses pembinaan kekebalan badan terhadap racun melalui pengambilan racun tersebut pada dos tertentu. Nama proses ini diambil daripada nama seorang raja semasa zaman empayar Greek, iaitu Raja Mithridates.

Untuk mengelakkan dirinya mati akibat diracun musuh, Mithridates meminum pelbagai jenis racun pada sukatan tertentu untuk membina kekebalan terhadap racun-racun tersebut. Hasilnya, beliau kebal kepada kebanyakan jenis racun.

Seorang penternak ular di Amerika Syarikat, Bill Haast juga pernah mempraktikkan teknik yang sama seperti Mithridates. Bill menyuntik pelbagai jenis bisa ular ke badannya, dan meningkatkan kuantiti bisa yang disuntik secara berkala.

Hasilnya beliau selamat daripada kebanyakan patukan ular yang dipeliharanya. Sepanjang hidup beliau, Bill telah dipatuk sebanyak 172 kali oleh ular berbisa.

Walau bagaimanapun, terdapat dua insiden menyebabkan beliau mengalami kecederaan iaitu semasa beliau dipatuk oleh ular katam biru dan ular kapak bodoh. Patukan daripada ular kapak bodoh tersebut menyebabkan beliau kehilangan salah satu daripada jari beliau.

Walaupun Bill berjaya membina kekebalan terhadap bisa ular melalui kaedah mithridatization, kaedah ini tidak sesuai untuk digunakan ke atas populasi manusia yang ramai. Hal ini kerana bagi sesetengah bisa seperti bisa yang bersifat sitotoksik (toksik kepada sel), suntikan bisa tersebut boleh menyebabkan kesakitan dan kerosakan tisu di bahagian badan yang disuntik.

Selain itu, bisa tersebut perlu diulang suntik setiap bulan untuk membolehkan badan kebal terhadap bisa tersebut. Oleh demikian, teknik mithridatization tidak membawa faedah yang praktikal terhadap individu, kecuali jika individu tersebut merupakan pengendali binatang berbisa di zoo atau penyelidik yang setiap hari berdepan dengan binatang berbisa.

Kesimpulan

Antivenom merupakan salah satu faedah yang diperoleh melalui perkembangan pengetahuan dalam bidang saintifik, khususnya imunologi dan toksinologi. Hasil aplikasi pengetahuan ini berjaya menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kematian akibat envenomasi.

 

Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box