Antibiotik: Apa Yang Anda Perlu Tahu – Khairul Naim bin Zainal Abidin

Antibiotik merupakan salah satu jenis ubat yang kerap digunakan di Malaysia. Berdasarkan laporan Statistik Ubat-Ubatan Malaysia 2008 yang dikeluarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Pusat Kajian Klinikal, Kementerian Kesihatan Malaysia, antibiotik merupakan ubat yang ke-9 paling tinggi penggunaannya di Malaysia.

ubat

Sumber: Sumber: Malaysian Statistics On Medicines 2008, Kementerian Kesihatan Malaysia

Oleh yang demikian, artikel kali ini bertujuan untuk memberikan serba sedikit penerangan ringkas berkenaan antibiotik – meliputi pengenalan terhadap antibiotik, jenis-jenis antibiotik dan perkara-perkara yang perlu diambil perhatian apabila seseorang perlu mengambil antibiotik.

Apa itu antibiotik?

Sebelum kita pergi kepada takrifan antibiotik, ada baiknya sekiranya kita berkenalan dengan suatu istilah iaitu antimikrobial. Antimikrobial merupakan istilah umum yang merujuk kepada bahan yang merencat pembiakan mikroorganisma atau membunuh mikroorganisma. Mikroorganisma bermaksud benda hidup yang bersaiz sangat kecil, yang hanya dapat diukur pada skala mikro. Terdapat pelbagai jenis mikroorganisma seperti kuman (bakteria), kulat (fungi) dan parasit seperti cacing kerawit dan hama. Antimikrobial kemudian boleh dipecahkan kepada beberapa jenis seperti:

  • Disinfektan :Bahan yang membunuh pelbagai jenis mikroorganisma tetapi tidak sesuai digunakan ke atas permukaan tubuh manusia e.g. Chlorox
  • Antiseptik : Bahan yang membunuh pelbagai jenis mikroorganisma dan boleh digunakan ke atas permukaan tubuh manusia e.g. Dettol
  • Antibiotik : Antibiotik merupakan bahan kimia yang digunakan untuk merencatkan pembiakan kuman (bacteriostatik) atau membunuh kuman (bakterisidal) e.g. Amoxicillin, Tigecycline
  • Antifungal : Antifungal merupakan bahan kimia yang digunakan untuk merencatkan pembiakan atau membunuh kulat (fungi) e.g. Caspofungin, Ketoconazole
  • Antiviral : Antiviral merupakan bahan kimia yang digunakan untuk merawat jangkitan virus e.g. Oseltamivir, Zidovudine
  • Antiparasit : Antiparasit merupakan bahan kimia yang digunakan untuk merawat pelbagai jenis jangkitan parasit e.g. Albendazole, Mebendazole, Artemether

Berdasarkan penerangan di atas, antibiotik merupakan salah  satu bahan kimia daripada pecahan antimikrobial. Antibiotik merupakan bahan kimia yang bertindak spesifik terhadap jangkitan kuman sahaja. Oleh sebab itulah sekiranya seseorang terkena penyakit selsema, tindakan memakan antibiotik adalah sia-sia kerana selsema disebabkan oleh virus selsema. Selsema biasa (cold) tidak memerlukan penggunaan antiviral kecuali dalam kes jangkitan selsema teruk (flu atau influenza) yang selalunya melibatkan masalah paru-paru.

Sumber: 3dprint.com

Sumber: 3dprint.com

Bagaimana cara untuk mengenal sesuatu ubat itu antibiotik atau pun tidak?

Kebiasaannya doctor akan memberitahu pesakit yang mereka akan  member anda antibiotik  setelah pesakit diperiksa oleh doktor, atau pun ahli farmasi akan memberitahu jenis ubat apa yang diterima oleh pesakit semasa ubat diberikan kepada pesakit tersebut. Pada bekas/sampul/kotak/botol ubat antibiotik juga selalunya akan dilabelkan dengan perkataan “antibiotik”.

Selain daripada maklumat yang diberikan oleh doktor, ahli farmasi atau melalui label pada ubat tersebut, antibiotik juga boleh dikenali melalui nama kandungan bahan aktif yang ditulis pada label ubat tersebut. Berikut merupakan contoh-contoh nama antibiotik :

Bagi antibiotik jenis Penicillin, nama kandungan aktif (active ingredient) bagi ubat itu akan berakhir dengan imbuhan -cillin. Contoh: Amoxycillin, Cloxacillin, Bacampicillin.

Bagi antibiotik jenis Macrolides, nama ubat itu selalunya berakhir dengan imbuhan -thromycin. Contoh: Azithromycin, Clarithromycin.

Bagi antibiotik jenis Cephalosporin, nama ubat selalunya bermula dengan imbuhan -cef. Contoh: Cefuroxime, Cephalexin, Cefadroxil.

Bagi antibiotik jenis sulfonamide, di Malaysia jenis yang selalu digunakan merupakan  gabungan dua jenis antibiotik iaitu CoTrimoxazole a.k.a Sulfamethoxazole + Trimethoprim a.k.a Bactrim

Bagi sediaan luar seperti ubat titis mata, krim dan salap (ointment), antara jenis-jenis antibiotik yang selalu digunakan ialah gentamycin, oxytetracycline, fusidic acid, chloramphenicol dan neomycin.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis lagi antibiotik yang terdapat di luar sana untuk kegunaan rawatan jangkitan kuman. Oleh demikian, adalah disyorkan agar anda menghubungi ahli farmasi atau pun doctor sekiranya anda ragu-ragu berkenaan jenis ubat apa yang anda ambil atau anda temui.

Perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya anda perlu memakan atau menggunakan antibiotik adalah :

  1. Secara umumnya bekalan ubat antibiotik perlu dihabiskan. Sekiranya anda dibekalkan sebanyak 42 biji kapsul antibiotik (e.g. 2 biji kapsul, 3 kali sehari, makan selama 7 hari), maka habiskanlah 42 biji kapsul itu. Walau bagaimanapun terdapat pengecualian dalam beberapa keadaan, seperti antibiotik dalam bentuk ubat titis mata dan antibiotik di dalam botol yang perlu dibancuh sendiri. Ada sesetengah ubat titis mata yang boleh bertahan cuma selama seminggu atau sebulan selepas penutup botol ubat tersebut dibuka, begitu juga dengan antibiotik yang perlu dibancuh terlebih dahulu. Ada sesetengah jenis antibiotik yang cuma bertahan selama seminggu selepas dibancuh. Oleh itu sila patuhi arahan yang diberikan oleh ahli farmasi berkenaan hal tersebut.
  2. Sesentengah antibiotik boleh mengakibatkan alahan dan kesan sampingan yang serius, terutamanya dari jenis penicillin dan cephalosporin. Sekiranya anda tiba-tiba mendapat ruam, bengkak di badan, mengalami sesak nafas, atau suhu badan meningkat mendadak sehingga melebihi 38 darjah selsius sebaik sahaja selepas makan/menggunakan antibiotik, sila berjumpa doctor dengan segera!
  3. Minum banyak air sekiranya anda makan antibiotik. Sesetengah antibiotik dikumuhkan melalui buah pinggang dan larut dalam air kencing oleh itu banyakkan minum air untuk memudahkan penyingkiran sisa antibiotik melalui buah pinggang anda .
  4. Beritahu ahli farmasi/doktor kalau sekiranya anda mempunyai  masalah buah pinggang, hamil, merancang untuk hamil ataupun menyusukan anak. Sesetengah antibiotik tidak sesuai untuk golongan ibu mengandung/menyusukan anak, dan pengubahsuaian dos diperlukan jika  pesakit ada masalah buah pinggang.
  5. Pastikan anda memberitahu ahli farmasi/doktor dan mendapatkan nasihat mereka jika anda ingin mengambil ubat-ubatan tradisional, ubat-ubat herba ataupun bahan makanan tambahan dan dalam masa yang sama ketika anda perlu mengambil antibiotik- ini penting untuk mengelakkan interaksi antara ubat-ubatan.
  6. Sesetengah antibiotik perlu diambil semasa perut kosong, ada yang boleh diambil selepas makan. Pastikan ahli farmasi memberitahu anda pada waktu bila yang sesuai untuk anda ambil antibiotik tersebut.
  7. Ada sesetengah antibiotik tidak boleh diambil berserta dengan produk tenusu/susu, e.g tetracycline, doxycline. Pastikan anda diberitahu sama ada boleh atau tidak anda minum susu sekali dengan antibiotik yang perlu anda ambil.

Suka saya ingatkan di sini, walau apapun jenis ubat-ubatan yang anda ambil, tidak kira samada antibiotik ataupun ubat-ubatan lain, sentiasa rujuk ahli farmasi atau pun doktor yang merawat anda sekiranya anda mengalami masalah berkenaan pengambilan ubat-ubat tersebut.

Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan:

  • Malaysian Statistics On Medicines 2008, KementerianKesihatan Malaysia
  • Drug Information Handbook, 18th Edition

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box