Anda Punca Ambulans Lambat! – Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir

e31bSeringkali kita mendengar keluhan dari masyarakat bahawa perkhidmatan ambulans lambat. Rata-rata apabila perkara ini terjadi, masyarakat akan mudah menghukum dengan marah kepada perkhidmatan ambulans hospital kerajaan.

Memang diakui perkhidmatan ambulans kita ada kalanya lambat untuk tiba ke lokasi dan ini menimbulkan masalah serta risiko komplikasi bagi pesakit. Namun tahukah anda apa sebabnya ambulans itu lambat? Pada hakikatnya, apabila panggilan kecemasan 999 dilakukan, setelah alamat kejadian/pesakit diperolehi, serta merta ambulans akan bergerak menuju ke lokasi. Hampir 90% daripada kes panggilan kecemasan, tayar ambulans sudah mula bergolek (en-route) dalam tempoh kurang dari 5 minit!

Namun, apakah puncanya ambulans lewat tiba ke lokasi? Pelbagai faktor dikenalpasti mempengaruhi masa ambulans lewat sampai ke lokasi. Masalah kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak seperti 8 pagi hingga 10 pagi dan 4 ptg hingga 7 malam adalah masa di mana ambulans akan lewat tiba. Kenderaan terlampau banyak pada waktu itu dan kesesakan lalu lintas ini sudah semestinya melambatkan masa ketibaan ambulans. Masyarakat Malaysia sering menyalahgunakan laluan kecemasan dan ini memberikan kesukaran bagi ambulans untuk respon pada panggilan. Juga, ramai pemandu yang enggan memberikan laluan terhadap ambulans sekalipun siren dibunyikan. Saya sendiri kurang pasti kenapa ini terjadi.

Mungkin mereka mendengar radio dengan kuat hingga tidak dengar bunyi siren atau mungkin juga mereka panik tidak tahu hendak bergerak ke kiri atau kanan. Namun hati saya berat mengatakan ini masalah mentaliti dunia ke tiga. Pernah sekali ketika saya membawa seorang wanita yang mengalami masalah pendarahan luar rahim, kenderaan di hadapan kami enggan memberikan laluan walau arahan diberikan berkali-kali melalui pembesar suara. Kadang kala saya berharap sangat yang ambulans saya itu adalah “Monster Truck”. Tahulah caranya nak mengajar mereka.

Di samping itu, satu lagi punca kelewatan ambulans adalah akibat dari alamat yang diberikan tidak lengkap atau salah. Perkara ini sering terjadi. Terutamanya apabila panggilan ambulans dilakukan oleh pihak ke tiga atau waris panik ketika memberi alamat. Jadi ambulans terpaksa berpusing berkali-kali kerana sesat dan menghubungi semula nombor pesakit/waris/pemanggil bagi mendapatkan alamat sebenar. Ini sudah semestinya melambatkan masa ketibaan ambulans.

Penyalahgunaan perkhidmatan ambulans juga adalah merupakan masalah yang besar bagi hospital. Hospital dan klinik mempunyai jumlah ambulans yang tertentu dan apabila ia digunakan untuk mebalas panggilan kes-kes yang tidak selayaknya menggunakan ambulans, maka bagi kes-kes kritikal yang benar-benar memerlukan ambulans, mungkin akan terjejas kerana ambulans telah digunakan untuk kes lain. Acapkali apabila ambulans tiba ke lokasi, kita mendapati pesakit sihat dan boleh berjalan. Tidak perlu pun untuk perkhidmatan ambulans. Mereka membuat panggilan untuk datang temujanji hospital, menukar tiub kencing atau Ryles tube, demam yang baru bermula dan sebagainya.

Sememangnya apabila panggilan ambulans dilakukan, kakitangan hospital akan mendapatkan maklumat melalui sebuah sistem soal jawab yang sistematik. Kebanyakan kes tidak kritikal boleh ditapis dengan cara ini. Pesakit akan dinasihatkan utk pergi sendiri ke klinik kesihatan berhampiran. Namun ramai pemanggil yang enggan memberi kerjasama dan memaki hamun apabila soalan-soalan diberikan. Akibatnya ambulans tetap perlu dihantar kerana khuatir ia merupakan kes yang benar-benar serius. Ini merupakan penyalahgunaan perkhidmatan ambulans.

Kita juga masih menerima panggilan-panggilan palsu yang tidak bertanggungjawab. Apabila ambulans digerakkan utk panggilan palsu ini, kes yang benar-benar memerlukan ambulans mungkin menjadi mangsa memandangkan jumlah ambulans kita adalah terhad.

Pihak hospital sentiasa mencari alternatif bagi mengatasi masalah kelewatan ambulans ini. Pernah di hospital lama saya, HKL, ditubuhkan skuad motosikal bagi memastikan paramedik dapat sampai dahulu ke lokasi ketika waktu puncak yang sesak. Namun ia menerima sambutan negatif dari masyarakat. Malah ada di antara kakitangan kami yang dikasari kerana masyarakat marah. Mereka kata, “Kami mintak ambulans bukan mat rempit.” Akibatnya perkhidmatan skuad motosikal ini juga terhenti kerana masyarakat tidak menerima.

Kesimpulan:

  1. Masalah kelewatan ambulan adalah merupakan masalah multi-faktorial.
  1. Jangan menyalahgunakan perkhidmatan ambulans. Ambulans bukan merupakan perkhidmatan pemandu peribadi anda!
  1. Sila jawab soalan-soalan yang diberikan ketika panggilan 999 dengan lengkap dan sempurna. Bantuan sudahpun mula bergerak ke lokasi anda ketika anda masih dalam talian dengan kami. Patuhi arahan yang diberikan. Ada sebab soalan-soalan itu ditanya. Dengan memaki hamun kami dan memaksa ambulans hadir tidak akan membantu anda dan kami.
  1. Jika anda mempunyai pengangkutan sendiri untuk datang ke hospital, juga pesakit boleh berjalan, sila datang sendiri ke hospital kerana itu lebih cepat (one way) berbanding dengan ambulans (two way).
  1. Sila kosongkan laluan kecemasan di jalan-jalan utama bagi memudahkan kami membantu anda. Sila bertimbang rasa memberi laluan. Mungkin waris anda yang berada dalam kecemasan dan anda punca mereka maut!

Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir adalah seorang Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box