“Alamak, Saya Rasa Saya Terkucil!” – Dr. Ayu Akida

Amat seronok sekali untuk bergelak tawa tetapi tidak seronok jika anda ada ‘paip bocor’.

Bayangkan ini:

 

Sumber gambar: www.advancedhealthcareforwomen.info

Anda berkumpul dengan sekumpulan rakan-rakan untuk mengimbau kenangan manis masa dahulu. Anda ketawa dengan penuh semangat mendengar cerita kelakar yang rakan anda baru kongsi dan justeru itu, anda bergegas ke bilik air sebab ada sedikit kebasahan di bawah sana.

Satu lagi senario yang sama memalukan:

Anda menerima sejambak bunga daripada kekasih anda, tanda peringatan ulang tahun perkahwinan ke-10. Anda menghirup keharuman bunga ‘calla lily’ secara mendalam. Anda bersin secara kuat dan bukannya mengeluh puas hati. Sebab tidak ingin meninggalkan lelaki anda pada masa itu, anda hanya bersilang kaki dan menahan kencing untuk seketika lagi, mengira saat apabila anda boleh menuju keluar secara anggun untuk menukar seluar dalam.

Macam biasa dengar? Bagi mereka yang tidak tahu apa yang berlaku di kedua-dua senario ini, benarkan saya memberitahu anda ini. Para wanita kadang-kadang diduga dengan inkontinen pundi kencing atau Urinary Incontinence (UI), suatu keadaan atas sebab tertentu, dia mengalami kebocoran air kencing yang tidak terkawal. Ia adalah satu keadaan yang tidak disengajakan yang biasa tetapi tetap mencemaskan. Ia mungkin satu perkara kecil bagi sesetengah orang, tetapi kepada orang lain, ia adalah masalah perkadaran epik. Sehinggakan, tertubuh satu masyarakat global yang khusus untuknya. Persatuan Antarabangsa Kontinen mendefinisikan inkontinen pundi kencing sebagai ‘aduan mengenai sebarang kebocoran air kencing secara tidak sukarela’. Perbuatan biasa ketawa secara terbahak-bahak, batuk atau bersin boleh mencetuskan lemah kawalan kencing ini. Berita baik adalah, ia boleh dirawat dan dicegah.

Oleh itu, semua UI adalah sama, kan?

Tidak. Padar dasarnya, terdapat pelbagai jenis masalah lemak kawalan kencing, dirumuskan seperti berikut:

  • Inkontinen jenis tekanan: Inkontinen jenis ini biasa berlaku apabila terdapat usaha yang bersungguh-sungguh yang terlibat seperti bersin atau batuk. Otot-otot terlibat dalam menyokong pundi kencing dan fungsi mekanikal menjadi lemah. Sphincter atau pengawal air kencing, tidak berupaya untuk menahan air kencing. Biasanya, pundi kencing adalah agak tahan lasak dan boleh bertahan apa-apa tekanan, tetapi dalam UI apabila terdapat tekanan yang meningkat secara mendadak, sphincter mengalami kegagalan.
  • Inkontinen jenis desakan: Keadaan ini berlaku apabila terdapat kebocoran air kencing secara tidak sukarela bila seseorang ingin buang air kecil. Dalam erti kata lain, seseorang itu tidak dapat menahan air kencing sebelum sempat ke bilik air.
  • Inkontinen jenis campuran: Ini adalah campuran kedua-dua inkontinen jenis tekanan dan jenis desakan. Pesakit akan ditimpa inkontinen apabila terdapat apa-apa bentuk pengerahan tenaga yang terlibat seperti batuk dan bersin, dan bukan sahaja apabila pesakit kebocoran air kencing secara tidak sukarela apabila keinginan timbul.
  • Pundi kencing terlebih aktif: Pundi kencing yang terlebih aktif mungkin atau mungkin tidak berlaku dengan inkontinen jenis desakan. Walau bagaimanapun, ia dikaitkan dengan kekerapan membuang air kecil serta membuang air kecil pada waktu malam. Sebab itulah keadaan ini diberi nama begitu.

Sebelum kita teruskan, izinkan saya untuk menerangkan mekanisme asas membuang air kecil. Buah pinggang kita menghasilkan air kencing secara berterusan. Mereka bekerja keras untuk memastikan badan kita menghilangkan apa-apa sisa. Dari buah pinggang, air kencing menitis turun ke pundi kencing, yang pada dasarnya sebuah pengkalan air kencing sambil menunggu masa untuk turun. Ia terdiri daripada otot dan boleh berkembang mengikut berapa banyak air kencing dikumpul. Saluran keluar untuk air kencing adalah uretra, yang biasanya sentiasa tutup. Ini melibatkan kerja berpasukan di mana otot lantai pelvik membantu dalam memastikan pintu masuk tertutup dengan memberi sokongan keliling uretra. Apabila keinginan datang, pundi kencing akan menguncup dan uretra dan otot lantai pelvik akan membolehkan air kencing mengalir keluar. Terdapat mesej saraf kompleks yang lain yang terlibat juga. Oleh itu, ini bukan sahaja melibatkan organ-organ yang disebutkan di atas, tetapi juga melibatkan otak.

Sekarang sebab mekanisme sudah jelas, ia adalah mudah untuk melihat di mana dan apa yang boleh tersilap berlaku dan seterusnya menyebabkan masalah lemah kawalan kencing. Wanita, secara umum, lebih cenderung untuk mendapat UI. Malah, kebarangkalian untuk wanita berbanding lelaki mendapat UI adalah dua kali ganda, kerana perbezaan struktur organ ginjal. Tambahan pula dengan kecederaan dan kelemahan otot yang terlibat terutamanya semasa mengandung dan melahirkan anak, anda mendapa resipi yang sempurna untuk menyebabkan UI. Wanita yang lebih tua lebih cenderung kepada UI berbanding wanita yang lebih muda. Tetapi, meletakkan semua itu ke tepi, terdapat sebab lain yang boleh menyebabkan UI, seperti kecederaan saraf, strok dan kecacatan kelahiran. Oleh itu, pada dasarnya, UI boleh berlaku apabila terdapat masalah dengan otot-otot dan saraf yang membantu memegang atau melepaskan air kencing.

Bagaimanakah saya diperiksa untuk UI?

Sudah tentu, langkah pertama untuk melegakan masalah ini (pun tidak disengajakan) adalah untuk berjumpa doktor, yang akan melalui proses pertanyaan tentang gejala-gejala anda, sejarah perubatan, dan soalan-soalan lain yang berkaitan. Anda mungkin akan diminta untuk menyimpan diari selama seminggu, untuk menggambarkan permasalahan anda secara terperinci. Insiden kebocoran kencing dan aktiviti yang berkaitan juga adalah penting. Biasanya, diari ini akan mendedahkan sifat UI anda dan doktor kemudian akan megehadkan punca UI anda.

Dia kemudian akan meneruskan dengan penyiasatan yang perlu. Pemeriksaan fizikal menyeluruh akan dilaksanakan, dan ini mungkin termasuk pemeriksaan faraj atau terusan kelahiran kerana apa-apa prolapse (faraj atau pundi kencing menonjol keluar dari badan), juga penyebab biasa UI. Ini diikuti ujian yang berkaitan yang mungkin termasuk ujian darah, ujian air kencing dan imbasan ultrasound. Doktor anda boleh mengarahkan ujian lain berdasarkan keperluan individu.

Mari kita menyelesaikan masalah ini.

UI adalah satu keadaan yang boleh dirawat. Dan pilihan rawatan berbeza berdasarkan punca masalah. Seseorang yang mempunyai pundi kencing terlalu aktif mungkin memerlukan ubat tertentu untuk mengatasi masalah ini. Faraj atau pundi kencing prolapse mungkin memerlukan pembedahan pembetulan, tetapi ia juga boleh diselesaikan dengan meletakkan peranti mudah ke dalam faraj untuk memberi sokongan kepada dinding faraj.

Selalunya, untuk UI yang disebabkan oleh otot lemah, ‘latihan semula’ pundi kencing mungkin hanya diperlukan. Ini melibatkan pergi ke tandas pada selang masa yang ditetapkan, yang bermakna menetapkan waktu tertentu untuk membuang air kecil. Sebaik sahaja anda sudah terbiasa, selang masa yang lebih lama daripada yang anda bermula boleh ditetapkan. Teknik ini tidak menjamin kejayaan sekelip mata tetapi dengan masa, anda mungkin dapat menunjukkan pundi kencing anda siapa yang bos.

Selain teknik latihan semula pundi kencing ini, anda perlu menguatkan otot anda di bawah sana. Gabungan kedua-dua teknik ini akan memastikan kejayaan kawalan pundi kencing yang lebih besar. Ini memerlukan anda untuk melakukan senaman Kegel secara berterusan. Ini juga bukan sesuatu yang boleh dicapai pada sekelip mata, tetapi memerlukan latihan yang berterusan.

Sumber gambar: www.brighamandwomens.org

Senaman Kegel

Untuk latihan ini, anda perlu mencari otot yang betul. Bayangkan anda cuba untuk menghentikan aliran air kencing atau cuba untuk menghalang diri daripada kentut. Cuba melakukannya tetapi tidak melibatkan abdomen, kaki atau punggung. Itulah otot pelvik anda.

Sebaik sahaja anda sudah biasa dengan kumpulan otot ini, apa yang anda perlu lakukan adalah mengetatkan mereka, tahan selama 2-3 saat, kemudian lepaskan. Ulangi proses ini selama 10 kali, dan kemudian rehat. Ini dianggap sebagai satu set lengkap. Cuba melakukannya untuk tiga set. Cara terbaik untuk mula melakukan ini adalah dengan mencari tempat yang selesa, di mana anda boleh menumpukan perhatian tanpa gangguan luaran. Sesetengah orang mungkin ingin memulakan senaman dengan berbaring, dan kemudian duduk apabila sudah maju ke depan. Tetapi, nasihat saya adalah untuk bersabar. Walaupun ia hanya mengambil masa kira-kira 5 minit dari hari anda, kesannya amat berhasil.

Sebagai nota perpisahan, biarlah jelas bahawa masalah inkontinen pundi kencing adalah masalah biasa, tetapi ia masih satu masalah mengganggu. Berita baik adalah bahawa ia boleh dirawat dan dalam beberapa kes, boleh dicegah. Apa yang diperlukan adalah kesedaran diri anda (yang saya berharap untuk mencapai dengan artikel ini) dan kesabaran untuk bekerjasama dengan doktor anda untuk mengatasi keadaan ini.

Dr. Ayu Akida adalah pakar Kesihatan Awam. Bidang minat dia adalah kesihatan keluarga, terutama kesihatan wanita dan penyakit berjangkit. Ketahui lebih lanjut mengenai beliau di halaman The Team (Columnist).

Rujukan:

  • Urinary Incontinence In Women, National Institutes of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, U.S. Department of Health & Human Services.
  • International Continence Society

Diterjemah oleh Suzanna Zainal Abidin daripada artikel asal http://www.mmgazette.com/oops-i-think-ive-wet-myself-dr-ayu-akida/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box