Adakah Saya Perlu Rujukan Lanjut? – Mejar (Dr) Norhasyimah Mahadi

Sumber: jordynredwood.blogspot.com

Sumber: jordynredwood.blogspot.com

Tidaklah asing untuk seseorang doktor mendapat pesakit yang meminta untuk dirujuk kepada pakar. Permintaan sebegitu menduga seorang doktor yang merawat, terutamanya apabila si doktor merasakan rujukan lanjut tersebut tidak perlu pada ketika itu. Perlu dimaklumkan kepada umum bahawa permintaan untuk rujukan pakar bukanlah bermaksud tidak elok. Ia menunjukkan yang si pesakit sedar akan haknya untuk rawatan lanjut dan ada pelbagai sebab mengapa mereka meminta rujukan pakar.

Mari kita lihat beberapa sebab yang biasa menyebabkan pesakit meminta rujukan doktor pakar dalam konteks rawatan awal.

  1. “Saya hanya mahu anda menulis surat rujukan kepada pakar supaya saya dapat buat pemeriksaan menyeluruh.”
  2. “Telinga saya ada lelehan yang teruk. Bolehkah anda tulis satu surat rujukan kepada pakar ENT untuk saya?”
  3. “Ekzema saya tak sembuh-sembuh. Saya fikir saya perlu dirujuk kepada pakar kulit untuk rawatan yang lebih baik.”
  4. “Saya fikir sakit kepala saya ini bukan yang biasa-biasa. Saya risau ada perkara buruk sedang berlaku dalam otak saya. Saya perlu imbasan CT.”
  5. “Bolehkah saya dirujuk kepada pakar sakit puan untukPAP smear dan mammogram?”
  6. “Kenapa susah sangat anda nak rujukkan saya kepada pakar?”
  7. “Doktor, saya lebih suka dirujuk kepada pakar sekarang sebelum terlalu lewat dan penyakit saya menjadi lebih tenat dan rumit.”

Ada beberapa perkara mustahak yang doktor perlu pertimbangkan sebelum membuat rujukan pakar. Mari kita tinjau apakah ertinya surat rujukan dalam profesion perubatan.

Surat Rujukan

Surat rujukan ialah suatu dokumen atau borang yang mengandungi pendapat klinikal doktor atau keputusan berkenaan penyakit seseorang pesakit yang dibuat pada peringkat klinik. Surat rujukan akan mengandungi rungutan yang menyebabkan pesakit hadir ke klinik, gejala-gejala yang berkaitan, penemuan klinikal positif atau negative yang relevan, keputusan makmal dan radiologi, jika ada, dan yang paling penting, sebab pesakit dirujuk.

Peranan Doktor Keluarga Anda

Seorang doktor keluarga atau pengamal/doktor am seharusnya menjadi titik temu pertama apabila seseorang jatuh sakit. Dia boleh menjadi doktor yang sama yang pesakit jumpa dalam merawat penyakit akut dan kronik, membuat pemeriksaan pra dan pasca-bersalin, menasihati dalam langkah-langkah pencegahan penyakit dan juga ketika saringan penyakit dan lain-lain. Doktor wajib bertindak sebagai ‘penjaga pintu’ untuk semua khidmat kesihatan selanjutnya dan beliau perlu memastikan semua rujukan ke pusat pakar adalah wajar. Ini penting untuk memastikan yang seseorang pesakit akan akan ditangani oleh pakar yang betul dalam bidang yang betul. Tambahan pula, ini adalah penting agar semua sumber digunakan dengan sewajarnya dan tiada pembaziran masa serta megelakkan kos-kos yang tidak perlu ditanggung oleh pesakit. Penyakit-penyakit biasa seperti demam, batuk dan selsema, lelah yang tak berkomplikasi, dan penyakit kulit ringan tidak perlu kepada diagnosis pakar. Ini ialah ilmu diagnosis penyakit asas yang doktor am perlu tahu untuk dia berkhidmat dalam bidang perubatan.

Bilakah doktor saya akan merujuk saya kepada pakar?

Seorang doktor keluarga atau doktor am mestilah mengambil kira semua faktor sebelum merujuk kepada mana-mana pakar. Doktor itu mestilah tahu bahawa merujuk tanpa keperluan akan mengakibatkan kerugian wang, masa dan tenaga anda. Seorang doktor keluarga akan membuat rujukan pakar jika:

  • Kekurangan sumber (ubatan, alatan, kemahiran dan siasatan) di klinik untuk  mengurus keadaan pesakit.
  • Pesakit perlu mendapatkan rawatan di pusat sekunder atau tertier yang lebih lengkap
  • Pesakit perlu menjalani prosedur diagnosis dan terapi yang lebih canggih
  • Doktor perlu mendapat pandangan lanjut daripada pakar

Dalam memenuhi syarat-syarat di atas, selalunya sukar untuk doktor membuat surat rujukan dalam situasi seperti:

  • Surat rujukan ‘kalau-kalau perlu’
  • Surat rujukan atas permintaan pesakit, tanpa bukti medikal yang memerlukan siasatan lanjut.
  • Surat rujukan untuk pendapat kedua tanpa pesakit mempertimbangkan pilihan dan diagnosis pertama yang diberi oleh doktor keluarga.

Di mana? Pakar yang mana?

Seorang doktor akan memastikan pesakit mendapat pakar yang betul untuk keadaan kesihatan atau penyakitnya. Jika perlu kepada rujukan pakar, doktor boleh memutuskan ke hospital mana beliau akan rujuk pesakit itu, memandangkan ada perbezaan di setiap prasarana. Salah satu sebab utama ialah ada atau tiadanya khidmat sub-pakar di hospital tersebut samada hospital kerajaan ataupun pusat-pusat swasta. Untuk rujukan ke pusat swasta, perlindungan perubatan oleh syarikat insuran atau syarikat majikan pesakit juga perlu diambil kira.

Adalah lebih baik sekiranya pesakit mendapatkan khidmat terbaik daripada doktor keluarganya dan menghindari pembaziran tenaga, wang dan sumber material akibat daripada rujukan yang tidak perlu dan berasas. Andai kata seorang pesakit rasa beliau memerlukan kepada penerangan yang lebih jelas dan baik berkenaan gejala-gejalanya, adalah disyorkan supaya pesakit itu menetapkan temujanji dengan doktor untuk perbincangan lanjut dan untuk mengatasi isu-isu yang berkaitan dengan penyakit tersebut.

Mejar Dr. Norhasyimah ialah pegawai perubatan yang bekerja di Kuala Lumpur dan sedang belajar untuk FRACGP. Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal https://www.mmgazette.com/do-i-need-a-referral-major-dr-norhasyimah-mahadi/ oleh Azizul Ismie Mohd. Puad.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

  • WHO: Management of health facilities: Referral systems. Available at: www.who.int/management/facility/referral/en/available 
  • Referrals within the profession -2007; Australian Medical Association. Available at: https://ama.com.au/position-statement/referrals-within-profession-2007
  • National Healthcare Establishments & Workforce Statistics ( Primary Care ) 2010. Available at: http://www.crc.gov.my/nhsi/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box