Adakah Penyusuan Ketika Hamil Selamat? – Dr Nurjasmine Aida Jamani

Sumber: www.tresillian.org.au

Sumber: www.tresillian.org.au

Penyusuan susu ibu amat digalakkan dan sememangnya terbukti memberi faedah jangka pendek dan jangka panjang kepada ibu dan bayi. Ia perlu diteruskan sehingga anak mencapai umur 2 tahun di samping makanan tambahan bagi tumbesaran yang optimum. Ini adalah sejajar dengan polisi dari Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) dan polisi kebangsaan penyusuan susu ibu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walau bagaimanapun, sering kali terjadi ibu-ibu yang masih menyusukan bayi mereka hamil sebelum tamat tempoh penyusuan mereka. Ini menjadi dilema kepada ibu-ibu ini samada mereka perlu meneruskan penyusuan mereka atau sebaliknya.

Penyusuan ketika hamil sememangnya menjadi bahan perdebatan di kalangan pengamal perubatan. Ini kerana terdapat beberapa faktor yang diambil kira seperti pertumbuhan bayi yang dikandung, cetusan kontraksi pra matang dan juga risiko keguguran.

Penyusuan dan risiko keguguran

Keguguran kandungan pada usia awal kehamilan sering terjadi atas beberapa faktor antaranya masalah genetik, kandungan gula yang tidak terkawal pada pesakit kencing manis dan jangkitan kuman pada janin. Secara teorinya, penyusuan susu ibu akan merangsang pengeluaran hormon oksitosin yang bertanggungjawab dalam pengeluaran susu dari payudara akibat hisapan bayi. Hormon ini juga boleh menyebabkan pengecutan rahim lantas berkemungkinan menyebabkan keguguran. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian tidak menemui sebarang kaitan secara langsung antara penyusuan ketika hamil dan keguguran.

Penyusuan dan tumbesaran bayi yang dikandung

Ketika hamil, pemakanan yang seimbang haruslah dititik-beratkan apatah lagi sekiranya meneruskan penyusuan semasa hamil. Mitos yang sering kali didengari ialah sekiranya menyusukan anak semasa hamil, kemungkinan besar janin yang dikandung tidak dapat membesar dengan baik.

Tanggapan ini adalah tidak benar kerana menurut satu kajian di Guatemala, tiada perbezaan yang signifikan antara berat bayi yang dilahirkan oleh kumpulan ibu yang menyusukan ketika hamil dengan kumpulan ibu yang tidak menyusukan ketika hamil. Dalam satu kajian lain di Peru mendapati bahawa pengambilan pemakanan yang kurang daripada kumpulan protein haiwan boleh menyebabkan kekurangan berat badan bayi ketika lahir samada ibu tersebut menyusukan atau tidak ketika hamil.

Penyusuan dan kontraksi pramatang

Terdapat pelbagai hormon yang mempengaruhi kandungan ibu yang hamil termasuk hormon prolaktin dan oksitosin. Walau bagaimanapun, hormon-hormon ini berada di dalam keseimbangan sehingga tiba waktu kelahiran dan seterusnya untuk proses permulaan penyusuan. Apa yang dibimbangkan adalah penyusuan susu ibu ketika hamil akan meninggikan aras hormon oksitosin lantas mencetuskan kontraksi pramatang.

Kebanyakan kajian yang dijalankan tidak menemui kaitan antara penyusuan ketika hamil dan kontraksi atau kelahiran pramatang walaupun ada ibu yang hamil merasakan kontraksi semasa menyusu. Kebiasaannya kontraksi tersebut akan hilang apabila sesi penyusuan selesai. Namun harus diingatkan, para ibu harus peka akan tanda-tanda kontraksi pramatang yang kerap dan tidak hilang apabila sesi penyusuan selesai untuk terus mendapatkan bantuan perubatan. Sekiranya si ibu mempunyai sejarah kelahiran pra matang, kandungan kembar dan risiko untuk mendapat kelahiran pramatang, adalah dinasihatkan agar penyusuan semasa hamil dihentikan.

Penyusuan semasa hamil menurut perspektif Islam

Islam agama yang indah dan memudahkan. Seorang ibu yang hamil dibenarkan untuk meneruskan penyusuan anaknya selagi ia tidak memberi kemudaratan kepada dirinya, anak yang dikandung dan anak yang disusukan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di mana Judama binti Wahab Al-Assadia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

“Aku pada mulanya berhasrat menegah al-ghilah sehingga diberitahu kepadaku bahawa orang-orang Rom dan Parsi melakukannya dan tiada kesan mudarat kepada anak mereka (maka aku tidak jadi menegahnya)”

Menurut para ulama, al-ghilah membawa dua maksud yang berbeza iaitu persetubuhan suami dengan isteri yang masih menyusukan bayinya dan yang kedua bermaksud ibu yang menyusukan bayi ketika sedang hamil. Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah tidak melarang penyusuan ketika hamil dan baginda menjelaskan sebab baginda tidak melarangnya.

Kesimpulannya, penyusuan susu ibu ketika hamil adalah selamat dan boleh diteruskan sekiranya ibu-ibu dan kandungan mereka didapati sihat dan dan tidak mempunyai sebarang komplikasi ketika mengandung. Namun begitu, adalah lebih baik sekiranya tempoh penyusuan disempurnakan terlebih dahulu bagi mendapat jarak kehamilan yang baik.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Nurjasmine Aida Jamani.

 

Dr Nurjasmine Aida Binti Jamani adalah seorang Pakar/Pensyarah Perubatan Keluarga.

Rujukan:

  • HD Flower. Breastfeeding during pregnancy: Moving from fear to instinct. Midwifery Today.2003
  • Irene Cetin, Paola Assandro, Maddalena Massari et al. Breastfeeding during Pregnancy: Position Paper of the Italian Society of Perinatal Medicine and the Task Force on Breastfeeding, Ministry of Health, Italy.J Hum Lact 2014
  • Breastfeeding while pregnant. (May 2004). Retrieved from http://islamweb.net/Breastfeeding while pregnant

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box