Adakah Benar Pil Pencegah Kehamilan Membuat Saya Gemuk? – Major (Dr) Che Hasnura bt Che Hassan

OCPSeringkali apabila pegawai perubatan cuba memberikan kaunseling tentang pil pencegah kehamilan, mereka menerima pelbagai alasan bagi menolak cadangan tersebut, khususnya takut berat badan akan meningkat. Sebenarnya, ketakutan ini turut datang daripada mereka yang dalam bidang kesihatan. Walaupun menghampakan, adakah ini fakta atau palsu?

Pil pencegah kehamilan telah ada di pasaran lebih dari 50 tahun dan merupakan salah satu kaedah kontrasepsi yang paling senang didapati, murah, dan mudah. Dengan penggunaan yang betul, 99% keberkesanan boleh dicapai. Ingat bahawa tiada kaedah yang 100% mencegah kehamilan selain tidak melakukan seks atau rahim dikeluarkan, 99% keberkesanan adalah peratusan terbaik untuk perancangan keluarga.

Jadi, dari mana datangnya idea bahawa pil pencegah kehamilan menggemukkan? Ini lebih kepada cerita ibu kepada anak dan daripada kisah pengalaman orang lain tetapi tiada yang telah disahkan secara saintifik. Daripada menyalahkan gaya hidup lembap dan pemakanan kurang sihat, pil pencegah kehamilan pula yang mendapat nama buruk sebagai penyumbang utama kepada penambahan berat badan.

Walau demikian, boleh difahami mengapa andaian tersebut dibuat kerana progesteron, salah satu hormon dalam penyediaan pil pencegah kehamilan boleh menyebabkan kembung perut yang sering disalah anggap sebagai tambahan berat badan, dan juga kepeningan serta nyeri payu dara. Namun begitu, simptom-simptom ini bergantung pada tindak balas badan kepada jenis-jenis hormon progestron tertentu yang boleh membawa kepada kesan-kesan tersebut. Oleh itu, tidak semua orang akan mengalami respons yang sama.

Sebelum ini, kandungan estrogen dalam pil pencegah kehamilan yang dikatakan penyebab berat badan bertambah. Ini tidak tepat sama sekali kerana hormon ini sebenarnya penggalak metabolisme yang membuatkan badan membakar lemak dengan lebih cepat. Akan tetapi, penyediaan estrogen telah dikurangkan dalam pil-pil pencegah kehamilan baru untuk mengurangkan risiko kesan sampingan seperti pembekuan darah yang boleh membawa kepada serangan jantung dan strok. Jadi estrogen sebenarnya tidak menyebabkan kegemukan.

Oleh itu, anda tidak perlu takut akan peningkatan berat badan sekiranya mengambil pil pencegah kehamilan. Sekiranya anda risau tentangnya, fikirkan semula tentang gaya hidup semasa. Mungkin terdapat beberapa pembaikan yang perlu dibuat dan bukannya menyalahkan pil-pil tersebut semata-mata.

Major (Dr) Che Hasnura seorang pakar Obsterik dan Ginekologi yang juga pernah bertugas dalam misi-misi luar negara. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team. Rencana ini diterjemahkan dari rencana asal di https://www.mmgazette.com/birth-control-pills-make-me-fat-does-it-major-dr-che-hasnura-bt-che-hassan/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box